Foto menu Rembayung didakwa diguna tanpa izin, KA tegur pemilik restoran
KECOH di media sosial apabila seorang pemilik restoran didakwa menggunakan gambar menu milik restoran Rembayung, yang diasaskan oleh pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming (KA), tanpa kebenaran.
Perkara ini mula mendapat perhatian selepas pemilik restoran berkenaan berkongsi gambar menu premisnya menerusi platform Threads.
Hantaran tersebut kemudian menarik perhatian KA yang tampil menegur pemilik restoran itu berhubung penggunaan gambar yang didakwa sama seperti foto menu Rembayung.

“Maaf tuan, gambar dalam menu tuan ni gambar yang saya shoot untuk Rembayung. Macam mana boleh ada dekat dalam menu restoran tuan,” tulis KA merujuk kepada gambar menu kanak-kanak yang ditawarkan restoran berkenaan.
Dalam hantaran susulan, KA turut mempersoalkan punca gambar berkenaan boleh digunakan di buku menu restoran terbabit dan memaklumkan bahawa dia sudah mendapatkan nasihat daripada peguam berhubung kemungkinan tindakan undang-undang.
“Sebagai 'owner bisnes', tuan sepatutnya tahu kewujudan gambar menu ni, lagi-lagi tuan dah ada banyak ‘outlet’.
"Tuan 'mentio'n tadi tuan gunakan menu kami sebagai inspirasi, tapi kenapa gambar asal yang digunakan dalam menu.
“Tuan juga pernah datang ke Rembayung sebelum gambar menu ini digunakan, ‘as per below screenshot’. Jadi sukar untuk saya terima alasan tuan tak ‘aware’ kewujudan gambar menu ni dalam restoran tuan. Nanti peguam saya akan berurusan dengan tuan untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih,” kongsinya.
KA turut berkongsi tangkap layar komen lama pemilik restoran berkenaan yang menyentuh mengenai sajian di Rembayung.
Perkembangan ini mencetuskan perbincangan lebih meluas apabila beberapa pengguna media sosial mula meneliti hantaran lama pemilik restoran tersebut yang sebelum ini turut lantang berkongsi pelbagai pandangan mengenai dunia perniagaan.
MENARIK DIBACA: Dari baguette ke kare pan, kenali 7 jenis roti popular dunia dan kisah di sebaliknya
MENARIK DIBACA: Pastri sanggup bayar mahal, kuih tradisi nak murah gila-gila! Pelanggan disaran ubah mentaliti lapuk
Bagaimanapun pada Ahad, hantaran pemilik restoran berkenaan dilihat telah dipadam, manakala akaun Threads miliknya ditetapkan kepada mod privasi.
Isu ini mengundang pelbagai reaksi netizen.
Ada yang menyuarakan pandangan mengenai kepentingan menghormati hasil kerja dan kreativiti pihak lain dalam perniagaan, manakala sebahagian pengguna turut membincangkan dakwaan penggunaan gambar tersebut.
“Bagi saya, kita peniaga besar atau kecil. Tolong letak dalam ‘mindset’. Jangan ‘copy paste’ hasil dan ‘idea’ orang kalau nak niaga lama. Sebab orang yang asyik ‘copy paste’ orang ni, mereka hanya fikir duit je. Tak fikir halal haram. Berkat tak berkat.

“Terkilan juga bila dapat tahu kejadian macam ni. Kami perlu bersuara juga. KA ‘spend so much time’ untuk ‘build original photoshoot’. Mohon pihak tuan tidak lagi menggunakan gambar milik Rembayung.
“Bukan takat curi gambar, siap dengan nama menu sekali, ada yang ‘mark up’ harga dari Rembayung.
“‘Kids meal’ tu tak sama langsung masa saya makan dekat kedai. ‘It is obvious’ gambar dari KA. Tapi ‘owner claim’ apa yang dalam gambar, itu yang dihidangkan. ‘Here is the proof’,” komen netizen.
Setakat perkongsian tersebut, isu ini terus menjadi perhatian pengguna media sosial.
