Bau hanyir tapi nikmat dimakan, bahagian kuning telur itik jadi bualan
BAGI sesetengah individu, telur itik masak lemak paling menyelerakan apabila bahagian kuningnya masih cair dan boleh digaulkan bersama kuah pekat.
Ada juga yang lebih gemar telur dimasak sehingga kuningnya keras kerana tidak tahan dengan bau hanyir dikatakan lebih kuat berbanding telur ayam.
Perbezaan selera itu menjadi bualan selepas seorang wanita berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika menikmati telur itik masak lemak dibelinya.
Menerusi satu perkongsian di Threads, wanita berkenaan mengakui serik untuk menikmati hidangan ini selepas mendapat telur itik dengan bahagian kuning masih cair.

"Punca saya trauma nak makan telur itik masak lemak. Punya la mengidam nak makan, tahu-tahu dapat macam ini. Dua hari tak hilang bau dia, melekat dekat tangan.
"Nak tanya tukang masak, macam ini ke cara masak telur itik masak lemak?" tulisnya.
Perkongsian ini mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata bersetuju bahawa telur itik sebaik-baiknya dimasak sehingga kuningnya keras bagi mengurangkan rasa kurang menyenangkan ketika makan.
MENARIK DIBACA: Kecoh deodoran haruman 'chicken nugget' di pasaran - "Ada orang akan bau ayam sepanjang hari"
MENARIK DIBACA: Banyak khasiat minum air rebusan daun kari, mampu rawat buasir dan cegah bau badan... Tambah halia lagi umphh!
"Telur itik kalau masak biasanya kuning keras, kalau macam dalam video ni cair, tak sesuai sebab bau hanyir kuat.
"Telur itik dengan ayam, telur itik hanyir sangat, saya tak boleh telan.
"Saya bekas staf restoran itik salai. Sepatutnya telur kuning keras juga sebab telur ni memang kuat hanyir.," katanya.
Perkongsian ini turut mendapat reaksi berbeza buat penggemar telur itik sedikit cair kuningnya.
"Aduh, telur itik macam ini paling syahdu. Warga asal Negeri Sembilan memang cari yang macam ini. Dapat yang macam ini, memang orang itu pandai masak.
"Kalau saya cair macam ni sedap, gaul kuning cair dengan gulai masak lemak.

"Kalau saya masak pun macam ni 'syok' makan. Mungkin awak sensitif pada bau telur.
"Sedang saya, selagi boleh nak cari yang cair macam ni, makan sekali sebiji," komen netizen.
Di sebalik perbezaan selera itu, telur itik perlu dimasak dengan sempurna bagi mengurangkan risiko keracunan makanan.
Kuning telur masih cair tak semestinya menjadi punca bau hanyir, tetapi tahap kesegaran telur, cara penyimpanan dan kaedah memasak boleh mempengaruhi kualiti serta rasanya.
