Pertama kali makan durian, reaksi Datuk Bandar London jadi perhatian
KUNJUNGAN pemimpin dunia ke sesebuah negara memberi peluang kepada mereka mengenali budaya tempatan dengan lebih dekat.
Antara pengalaman sering menjadi perhatian apabila tokoh tersebut berpeluang merasai makanan tradisional yang tidak pernah ditemui sebelum ini.
Menurut laporan media antarabangsa, pengalaman itu turut dilalui oleh Datuk Bandar London, Sadiq Khan ketika mengadakan lawatan ke Singapura.
Selain meninjau konsep perumahan awam terkenal di negara berkenaan, dia turut meluangkan masa menikmati pelbagai hidangan tempatan yang popular dalam kalangan penduduk setempat.

Momen paling mencuri perhatian ialah apabila Sadiq merasai durian buat pertama kali dalam hidupnya.
Dalam lawatan tersebut, Sadiq dibawa oleh pempengaruh Singapura, Denise Teo, ke Lau Pa Sat untuk menikmati pelbagai makanan jalanan.
MENARIK DIBACA: Kreativiti Sheila Rusly 'angkat' menu biasa ke tahap luar biasa dipuji - "Masak mi segera pun terliur"
MENARIK DIBACA: Kecoh sebiji tomato RM20! Selepas dikecam pasar raya Kanada akui berlaku kesilapan
“Orang di London dan Singapura sama-sama sangat menyukai makanan jalanan,” katanya ketika menikmati sate.
Bagaimanapun, suasana bertukar menjadi lebih menarik apabila dia diberikan seulas durian untuk dicuba.
Riak wajah Sadiq jelas menggambarkan perasaan bercampur-baur antara teruja, ragu-ragu dan sedikit gementar untuk mencuba buah yang cukup popular di Asia Tenggara itu.
Selepas beberapa ketika, dia akhirnya memberanikan diri melakukan gigitan pertama.
Bagaimanapun reaksinya menunjukkan rasa durian tersebut tidak begitu menepati seleranya.
Wajahnya kelihatan terkejut sebaik sahaja mengunyah isi durian berkenaan dan dia dilihat kurang selesa dengan rasa serta baunya.

Malah, Sadiq mengakui itu merupakan kali pertama dia melihat isi durian dikeluarkan daripada kulit.
Menurutnya lagi, bentuk isi buah tersebut juga berbeza daripada apa yang dibayangkan sebelum ini.
Tidak mampu menghabiskan seulas durian diberikan, Sadiq kemudian berkongsi buah tersebut dengan individu lain yang berada di sekelilingnya.
Walaupun tidak begitu menggemari rasanya, pengalaman pertama merasai durian itu tetap menjadi antara momen paling unik sepanjang kunjungannya ke Singapura.