Petua rawat strok jadi bualan, pesakit didakwa pulih hanya guna minyak tanah
DI media sosial, pelbagai petua tradisional sering dikongsikan sebagai ikhtiar untuk membantu individu sedang mengalami masalah kesihatan, termasuk strok.
Keberkesanan dan tahap selamat sesuatu petua bagaimanapun perlu dinilai berdasarkan beberapa faktor seperti nasihat pakar, fakta, bukti perubatan sebelum diamalkan.
Seorang pengguna Threads mendakwa khasiat gabungan daun sirih, halia dan minyak tanah dapat mengurangkan masalah dihadapi pesakit strok.
“Ada terbaca tentang penyakit strok boleh diubati melalui kaedah berikut menggunakan daun sirih dan halia ditumbuk halus.

“Letakkan tujuh titis minyak tanah, sapukan ke bahagian terkena strok dan amalkan. InsyaAllah cepat baik. Kalau ada siapa pernah cuba, tolong kongsi keberkesanannya,” katanya.
Dia turut menjelaskan bahawa petua ini bukan hasil ciptaannya sendiri, sebaliknya dikongsi oleh individu lain.
MENARIK DIBACA: Geng malas keluar kereta, suka 'drive thru' beli makanan di gerai dibidas! Siap peniaga kena hulur QR
MENARIK DIBACA: Kreatif habis! Wanita hantar resume dalam bentuk kek span, siap ada QR Code
Hantaran ini mendapat perhatian netizen, termasuk warga maya yang berkongsi pengalaman mendakwa pernah melihat pesakit strok menunjukkan perubahan selepas mendapatkan rawatan alternatif.
“Saya pernah hantar orang strok berubat guna kaedah ini. Alhamdulillah, pulih.

"Betul, minyak tanah memang bagus, mak saya strok dan ada perawat urut pakai minyak tanah. Kemudian, mak saya sudah boleh berjalan biarpun tak kuat.
"Saya pernah ajar orang kaedah ini tapi minyak tanah bukan setitis sebaliknya perlu dicampur dengan halia, daun sireh. Pagi dan malam sapu sepanjang berada di hospital dan doktor turut terkejut strok pulih," antara komen netizen.
Strok memerlukan rawatan perubatan segera dan petua ini tidak disahkan dapat merawat atau memulihkan strok.
Sapuan minyak tanah pada kulit boleh mencetuskan punca kerengsaan kulit dan pendedahan kepada bahan toksik.