'Wedges' kentang guna 'air fryer', cecah sos yogurt 'homemade' janjikan nikmat setiap gigitan
HIDANGAN berasaskan kentang jika kena gaya penyediaannya memang boleh menjadi kudapan cukup menyelerakan.
Bagi menikmati wedges yang sedap, tak semestinya perlu digoreng menggunakan minyak yang banyak.
Dengan bantuan air fryer, kentang boleh disediakan dengan lebih mudah.
Penggunaan tepung dan campuran rempah menjadikan rasanya lebih enak dengan lapisan luar yang sedikit rangup.
Menariknya, resipi perkongsian Nabilah Mazalan menerusi Threads ini turut disertakan dengan sos pencecah yogurt buatan sendiri.
Gabungan rempah pada kentang dengan rasa yogurt yang sedikit masam dan menyegarkan menjanjikan keenakan setiap suapan.

Mudah sahaja cara penyediaannya dan bahan-bahan yang digunakan juga ringkas.
Wedges ini sesuai dinikmati sebagai kudapan petang, hidangan sampingan atau pilihan lain untuk kentang goreng.
Sekali mula mencecah, memang susah hendak berhenti makan!
Bahan-bahan
- 4 biji kentang
- 2 sudu besar tepung serbaguna
- Serbuk cayenne secukup rasa
- Serbuk cili kasar secukup rasa
- Campuran herba secukup rasa
- Serbuk bawang putih secukup rasa
- Minyak zaitun secukupnya
Bahan sos pencecah
- Yogurt secukupnya
- Perahan limau
- Bawang putih
- Serbuk lada hitam
- Serbuk cendawan
MENARIK DIBACA: Mana satu bagus? Ini 4 jenis susu mengikut 'ranking', dari biasa hingga terbaik
MENARIK DIBACA: Wanita maut tercekik ketika buat cabaran makan pantas
Cara penyediaan
- Kupas kentang kemudian potong kepada bentuk wedges mengikut saiz yang diinginkan.
- Cuci kentang sehingga bersih menggunakan air dan sedikit garam.
- Rebus kentang selama kira-kira 5 minit atau sehingga separuh masak. Kemudian toskan airnya.
- Masukkan tepung serbaguna, serbuk cayenne, serbuk cili kasar, campuran herba dan serbuk bawang putih ke dalam kentang.
- Gaul sehingga semua bahan perasa menyaluti kentang dengan sekata.
- Renjiskan minyak zaitun secukupnya dan gaul sekali lagi.
- Susun kentang di dalam bekas air fryer. Masak pada suhu 180 hingga 200 darjah celsius selama kira-kira 10 minit atau sehingga kentang menjadi keemasan dan rangup.
- Sementara menunggu wedges masak sediakan sos pencecah. Masukkan yogurt ke dalam mangkuk kemudian tambahkan perahan limau, bawang putih yang dicincang atau diparut halus, serbuk lada hitam dan serbuk cendawan.
- Gaul semua bahan sos sehingga sebati. Sesuaikan rasa mengikut selera.
- Setelah wedges masak, angkat dan hidangkan bersama sos yogurt homemade.