Petua bilis kekal rangup walau dah gaul sambal... Antaranya guna cuka, asam keping
IKAN bilis yang digoreng garing boleh hilang kerangupannya sebaik sahaja digaul bersama sambal.
Perkara ini mungkin menjadi masalah untuk sesetengah orang, terutamanya mereka yang menyukai ikan bilis rangup untuk dinikmati bersama nasi.
Di Threads, seorang wanita dikenali sebagai belledynaa berkongsi petua agar ikan bilis goreng kekal rangup walaupun selepas digaul bersama sambal.
"Saya jumpa petua ikan bilis kekal rangup walaupun dah gaul sambal. Terima kasih akak yang kongsi tip itu. Makin bertambah nasi saya lepas ini," tulisnya.
Menurutnya, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan ikan bilis kekal rangup selepas dimasak bersama sambal.

"Pertama, cuci ikan bilis kemudian rendam dalam air biasa dan tambah lima sudu makan cuka. Pastikan air hanya pada paras ikan bilis selama 15 minit.
"Tapis air sahaja dan jangan bilas kemudian goreng sampai garing. Tunggu sambal dan ikan bilis sejuk baru gaul," dia berkongsi cara memasak.
Perkongsian itu menarik perhatian warganet yang turut tidak melepaskan peluang berkongsi cara masing-masing untuk menghasilkan ikan bilis rangup.
"Saya selalu cuci ikan bilis dan toskan. Panaskan minyak kemudian letakkan sedikit tepung ubi sebelum masukkan ikan bilis. Goreng sehingga garing. InsyaAllah rangup.
"Saya biasa basuh bersih-bersih lepas tu saya goreng tanpa minyak sampai air ikan bilis kering kemudian goreng dengan minyak sampai buih ikan hilang, rangup juga," antara komen warganet.
MENARIK DIBACA: 'Chinese beauty' lemak berkrim, rasa herba ringan dan menyegarkan
MENARIK DIBACA: Aroma cengkih di rumah cukup menenangkan, tak perlu lagi bakhoor mahal
Ada yang berkongsi cara lain untuk mengekalkan kerangupan hidangan itu antaranya dengan menggunakan asam keping.
"Saya goreng dengan asam keping, Alhamdulillah menjadi. Saya buat niaga sambal bilis rangup dan memang menjadi tak masam pun. Letak sekeping sahaja bagi setiap dua hingga tiga genggam ikan bilis," katanya.
Malah, ada juga yang mencadangkan penggunaan air fryer sebagai langkah lebih mudah untuk menyediakan ikan bilis rangup.
"Ada cara lagi senang. Basuh ikan bilis dan masukkan ke dalam air fryer pada suhu 180 darjah celsius selama lima minit, kemudian barulah goreng," kongsi salah seorang netizen.