Lelaki mualaf rindu nasi ayam Hainan sedap, kongsi beza dengan stail Melayu
SETIAP orang mempunyai cita rasa tersendiri, apatah lagi apabila membabitkan makanan yang dimakan sejak kecil.
Seorang lelaki mualaf berbangsa Cina, Adam Kelvin secara terbuka mengakui nasi ayam Hainan lebih menepati seleranya berbanding nasi ayam yang dimasak mengikut cara Melayu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Adam berkata antara perkara yang terpaksa dilepaskannya selepas memeluk Islam ialah menikmati nasi ayam Hainan Cina autentik.
"Antara nikmat terbesar yang terpaksa saya lepaskan selepas peluk Islam adalah makan nasi ayam Hainan Chinese,” katanya.
Menurut Adam, perbezaan paling ketara antara kedua-dua hidangan itu terletak pada bahan dan teknik penyediaannya terutama nasi yang menjadi komponen penting dalam hidangan berkenaan.
“Nasi ayam Chinese style selalunya guna halia dan bawang putih sebagai bahan utama. Tak lupa juga minyak bijan. Wajib!” jelasnya.

Katanya, nasi dimasak menggunakan beras wangi bersama lemak ayam dan daun pandan serta sup ayam yang direneh bagi menghasilkan aroma tersendiri.
“Nasi saja pun dah sedap! Bila dah masak, nasi akan jadi sangat wangi, lembut dan sedikit kenyal. Warnanya pula bukan kuning, tetapi lebih kepada putih keperangan,” katanya.
Bagi ayam pula, hidangan berkenaan lazimnya menggunakan ayam dikukus dengan herba tertentu.
"Ayam yang dikukus itu bukannya tawar. Ada teknik masak dan herba yang digunakan supaya ayam tu ada rasa bila makan,” katanya.
MENARIK DIBACA: Nasi ayam boleh dimasak tanpa air rebusan... Banyak cara alternatif, enak macam resipi biasa
MENARIK DIBACA: Ayam kukus kicap halia lauk ringkas tapi enak, tak makan dengan nasi pun 'layan'
Tidak ketinggalan, kicap dan sos pencicah juga memainkan peranan penting dalam melengkapkan hidangan.
Menurut Adam, kicapnya menggunakan sup ayam sebagai sebahagian daripada penyediaan, manakala sos cili perlu mempunyai gabungan rasa pedas, masin, manis dan masam.
Malah, sos halia juga dianggap pelengkap wajib yang tidak boleh ditinggalkan.

Bagaimanapun, Adam mengakui agak sukar mencari nasi ayam Hainan Cina yang halal dan benar-benar menepati cita rasanya.
"Nak cari yang halal punya cukup susah. Kat Kedah, lagilah tak ada bagi saya. Terpaksa ke Penang makan kat foodcourt Queensbay Mall nasi ayam Hainan,” ujarnya.
Dia turut berkongsi bahawa nasi ayam Cina yang dijual di gerai tepi jalan sebenarnya sudah cukup enak, selain harganya lebih murah.
"Kedai nasi ayam Cina biasa tepi jalan sebenarnya memang dah cukup sedap. Semua guna beras wangi. Harga pun murah. Sebungkus baru RM6 je macam tu,” katanya.
Walaupun mempunyai pilihan tersendiri, Adam menegaskan perkongsiannya bukan bertujuan memperlekehkan masakan nasi ayam Melayu, sebaliknya sekadar berkongsi perbezaan teknik penyediaan dan cita rasa.

Kini, jika teringin menikmati nasi ayam Hainan, isterinya menjadi penyelamat apabila mahir menyediakan hidangan itu berpandukan resipi tukang masak Cina yang ditonton menerusi YouTube.
“Dia tengok resipi kat YouTube je. Cari orang Cina masak. Fuhh terangkat!” katanya.
Adam turut berseloroh bahawa memeluk Islam bukan sahaja menuntut pengorbanan dalam aspek kehidupan, malah makanan kegemaran juga terpaksa dilepaskan.
“Masuk Islam bukan sekadar korbankan family. Makanan kegemaran pun terpaksa berkorban. Haha,” katanya.