Le Cordon Bleu Dusit ungguli pendidikan kulinari terbaik Asia 2 tahun berturut-turut
INSTITUT kulinari terkemuka, Le Cordon Bleu Dusit Culinary Arts School (Sekolah Seni Kulinari Le Cordon Bleu Dusit) sekali lagi mencipta reputasi hebat apabila dinobatkan sebagai Institusi Latihan Kulinari Terbaik Asia 2026 oleh World Culinary Awards untuk tahun kedua berturut-turut.
Pengiktirafan pada 15 Oktober lalu di Bangkok, Thailand itu menyusul selepas kemenangan pertama institusi ini pada 2025.
Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan komitmennya dalam menyediakan pendidikan kulinari berkualiti serta melahirkan tenaga profesional dalam industri makanan dan hospitaliti.
Ditubuhkan pada 2007 hasil kerjasama Le Cordon Bleu International dan Dusit International, institusi yang berpusat di CentralWorld, Bangkok ini merupakan institusi kulinari yang menggabungkan teknik masakan klasik Perancis dengan keunikan gastronomi Thailand.

Antara program ditawarkan termasuklah masakan, pastri, masakan profesional Thai dan seni pembuatan roti yang memberi penekanan kepada latihan praktikal, kreativiti serta kemahiran profesional.
Pengarah Le Cordon Bleu Dusit, Jeremy Laurent berkata pengiktirafan ini cukup bermakna menjelang sambutan ulang tahun ke-20 institusi berkenaan pada tahun hadapan.
Menurutnya sepanjang hampir dua dekad beroperasi, institusi ini turut menyumbang kepada perkembangan landskap kulinari di Bangkok dan seluruh Thailand.
MENARIK DIBACA: Pasukan Lotus's Malaysia menang besar di Thailand Ultimate Chef Challenge, tewaskan 400 cef seluruh Asia
MENARIK DIBACA: Ekstrak Vanila bahan kedua termahal di dunia selepas safron
Malah, dia turut berbangga apabila ramai bekas pelajar berjaya mencipta nama dalam industri makanan sehingga memperoleh pengiktirafan Michelin di Thailand dan peringkat antarabangsa.
Jeremy turut berpandangan pendidikan kulinari akan terus relevan meskipun teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik semakin mengubah landskap pekerjaan dalam bidang ini.
Katanya, kemahiran seperti kreativiti, deria rasa, ketelitian, sentuhan tangan serta hubungan sesama manusia merupakan kelebihan yang sukar digantikan oleh mesin.

Pada masa sama dia turut percaya bidang masakan, pastri, pembuatan roti dan hospitaliti akan terus memerlukan kepakaran manusia.
Menurutnya pelajar bukan sekadar diajar mengikut resipi, sebaliknya digalakkan memahami teknik, mengenal pasti kesilapan dan mencari penyelesaian sendiri ketika memasak.
"Kita sedang melalui perubahan besar apabila AI dan robotik mengubah cara manusia bekerja. Saya percaya pendidikan seni kulinari akan menjadi lebih kukuh selepas melalui peralihan ini," katanya.
Le Cordon Bleu Dusit turut berhasrat memperkukuh pendidikan kulinari profesional dan kerjasama industri bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang masakan.