Ayam tak masak di MRSM, Asyraf Wajdi beri amaran keras kepada kontraktor
PENGURUSAN Majlis Amanah Rakyat (Mara) khususnya Bahagian Pendidikan Menengah diarahkan mengambil tindakan segera berhubung aduan penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka.
Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab berhubung penyediaan makanan di sekolah itu.
"Kesian anak-anak pelajar yang bukan ramai berkemampuan untuk beli makanan alternatif di kafe atau koperasi.
"Apatah lagi buat pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pendidikan Menengah).

"Perlu ingat, MRSM Tun Ghafar Baba adalah MRSM terbaik di Malaysia, justeru saya mengarahkan Bahagian Pendidikan Pendidikan Menengah mengambil tindakan tegas dan menangani pemakanan anak-anak pelajar," kongsinya dalam satu video.
Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook, Asyraf menyuarakan kekesalannya selepas menerima aduan daripada beberapa pelajar dan ibu bapa berhubung kualiti makanan yang disediakan di Dewan Selera MRSM Tun Ghafar Baba.
"Saya cukup marah dan amat terkesan apabila membaca WhatsApp dan mesej peribadi di ruangan media sosial sebentar tadi.
MENARIK DIBACA: Tular video staf lemaskan ayam, dakwaan jual bangkai... Jakim buat siasatan menyeluruh
MENARIK DIBACA: Ada sebab tikus suka menyelinap masuk ke dapur, 5 makanan ini tarik perhatiannya
"Ada beberapa pelajar dan ibu bapa dari MRSM Tun Ghafar Baba Melaka menghubungi saya dan mengadu berkenaan penyediaan makanan di Dewan Selera petang tadi tidak memuaskan kerana ada ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.
"Apabila saya minta pengurusan semak, rupanya kontrak penyedia makanan hanya berbaki sebulan sahaja lagi," katanya dalam hantaran di Facebook.
Asyraf berkata, tindakan pihak kontraktor berkenaan ibarat satu 'trend' apabila kontrak hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan seolah mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
Katanya, beberapa minggu lalu beliau melakukan pemeriksaan di MRSM itu dan memberi amaran kepada penyelia Dewan Selera agar pastikan kualiti makanan yang disediakan menepati piawai ditetapkan Mara.
"Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur. Malah kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitamkan daripada mendapat apa-apa manfaat daripada Mara pada masa akan datang.
"Ingatlah keuntungan diperoleh daripada hasil yang curang dan menyimpang tidak akan pernah punya keberkatan malah menjadi asbab kepada kecelaruan dan kesengsaraan hidup berterusan," kongsinya.

Asyraf turut memberitahu pelajar yang terkesan bagaimanapun diberikan makanan alternatif dimasak daripada kafe koperasi.
Menurut ringkasan kejadian, pada jam 6.40 petang (Isnin), hidangan ayam masak kicap disediakan habis menyebabkan sebilangan pelajar terpaksa menunggu sehingga jam 7.10 malam untuk mendapatkan hidangan dimasak semula .
Ayam masak kicap diterima pelajar sekolah itu bagaimanapun didapati tidak dimasak dengan sempurna.
Sejam selepas kejadian, pihak Dewan Selera (DS) memberikan makanan gantian kepada pelajar terjejas.