Malaysia 'ranking' ke-29 dari 100 masakan terbaik dunia, roti canai raih skor tinggi
KEPELBAGAIAN makanan tempatan dengan rasa dan keunikan tersendiri menjadikan Malaysia antara destinasi yang menarik perhatian pencinta makanan dari seluruh dunia.
Perkara ini dapat dilihat menerusi senarai 100 Masakan Terbaik Dunia dikeluarkan oleh portal kulinari antarabangsa, TasteAtlas yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-29 berdasarkan penilaian pengguna dari seluruh dunia.
Itali mengungguli carta pilihan penggemar kulinari dunia ini, diikuti Greece seterusnya Peru di tangga ketiga.

Antara makanan yang disarankan untuk dicuba ketika berkunjung ke Malaysia adalah roti canai dan kari ayam yang masing-masing memperoleh penilaian skor 4.6 daripada lima.
Turut tersenarai dalam kategori ini adalah manggis dengan skor 4.5, diikuti karipap dan pisang mas yang masing-masing meraih penilaian 4.5.
MENARIK DIBACA: Bercuti ke Vietnam jangan lupa cuba kopi belacan, siap ada 'topping' tuna kering
MENARIK DIBACA:Raja Charles III singgah van makanan jalanan jual 'jacket potato'
Selain makanan, TasteAtlas turut mengetengahkan beberapa restoran tradisional ikonik di Malaysia yang boleh dikunjungi penggemar kulinari.
Antaranya Bijan Bar & Restaurant, Ding Heong Golden Apam Balik dan gerai apam balik di Petaling Street yang terletak di Kuala Lumpur.
Bagi Pulau Pinang pula, antara lokasi yang disenaraikan adalah Restoran Tek Sen dan Lean Thye Loh Mee di Lebuh Ah Quee.

Buat pelancong Muslim, kunjungan ke restoran yang disenaraikan bagaimanapun perlu disemak status halalnya.
Senarai ini memperlihatkan kepelbagaian pengalaman kulinari ditawarkan Malaysia yang terus mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan.
Pengiktirafan seumpama ini memberi peluang untuk makanan tempatan terus dipelihara dan sentiasa dikenali di peringkat antarabangsa.