Isu tular: Gardenia masih tunggu keputusan makmal KKM
SYARIKAT pengeluar roti terkemuka tempatan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd masih menunggu keputusan ujian makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan dakwaan yang mengaitkan produknya dengan kes keracunan makanan.
Penolong Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam) Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Yazli Muhamad Saleh berkata pihaknya sudah memberikan kerjasama penuh kepada KKM untuk tujuan pemeriksaan dan siasatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan masih menunggu keputusannya.
Menurut Yazli, KKM telah mengambil sampel produk untuk dianalisis, selain pihak Gardenia sendiri turut menghantar sampel berkenaan ke makmal bebas bertauliah untuk mendapatkan keputusan ujian secara berasingan.

"Setakat ini, keputusan ujian makmal yang dijalankan pihak kami tidak menunjukkan sebarang masalah berdasarkan parameter yang diuji, termasuk perkara yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
"Semasa pihak KKM datang menjalankan pemeriksaan pun, mereka sendiri berpuas hati dan tidak menemui sebarang masalah berkaitan proses serta prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran makanan kami,” katanya kepada pemberita pada program Jalinan Media Gardenia KL 2026, Selasa.
Dalam pada itu, Yazli berkata pihaknya turut berusaha menghubungi individu yang membuat perkongsian berkenaan di media sosial bagi mendapatkan maklumat lanjut, namun usaha itu berdepan kesukaran dari segi mendapatkan kerjasama.
MENARIK DIBACA: KKM tunggu keputusan makmal sebelum periksa kilang Gardenia susulan aduan pengguna
MENARIK DIBACA: Gardenia sahkan produk patuhi piawaian keselamatan makanan
Mengenai kesan akibat dakwaan tersebut, Yazli memaklumkan ia tidak menjejaskan syarikat sebaliknya prestasi jualan Gardenia menunjukkan peningkatan.
“Alhamdulillah, jualan kami sebenarnya meningkat. Bukanlah bermaksud perkara ini tidak memberi kesan tetapi secara tidak langsung kami turut mendapat publisiti percuma,” katanya.
Pada 8 November lalu, tular di media sosial dakwaan pengguna yang mengaitkan pengambilan produk Gardenia dengan kes keracunan makanan sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Pihak berkuasa menjalankan siasatan termasuk mengambil sampel produk terbabit untuk analisis makmal.
Gardenia dalam satu kenyataan mengesahkan beberapa produk keluarannya yang tular dan menjadi perhatian pengguna mematuhi spesifikasi keselamatan makanan yang ditetapkan.
Pada 10 November lalu pegawai KKM menerusi PKD berkaitan mengadakan pemeriksaan di fasiliti pengeluaran Gardenia sebagai sebahagian daripada proses siasatan.