Guru makan pelbagai jenis bunga, dakwa baik untuk kesihatan dan kecantikan
MAKANAN atau minuman yang memiliki aroma atau rasa bunga bukanlah sesuatu hal aneh.
Bunga mawar misalnya telah lama dijadikan bahan perasa untuk makanan dan minuman seperti sirap, kek dan aiskrim.
Begitu juga dengan bunga telang apabila tumbuhan dengan kelopak berwarna ungu itu digunakan sebagai bahan pewarna untuk nasi kerabu, selain dipercayai memiliki manfaat kesihatan air rebusan bunga telang.
Namun, pernah tak anda terfikir untuk menjadikan bunga-bungaan sebagai kudap-kudapan atau lauk?

Seorang wanita yang juga guru sekolah rendah dari Payakumbuh, Sumatera Barat, Indonesia menuai perhatian ramai apabila berkongsi video menikmati pelbagai jenis bunga-bungaan dengan berselera di Instagram miliknya, @diandraspd.
Menerusi video yang dikongsikan, wanita tersebut yang menggelarkan dirinya sebagai Umi sering berbahagi konten menjamah pelbagai jenis bunga segar.
Dalam salah satu video yang dikongsikan, Umi mengumpulkan beberapa jenis bunga seperti mawar, bunga raya, melati dan kemboja di dalam pinggan untuk dijadikan sarapan pagi.
MENARIK DIBACA: Pertama kali sertai pertandingan memasak, Chef John Pathmanaban juara Barilla Pasta Championship Asia... Bakal wakil Malaysia ke peringkat Asia
MENARIK DIBACA: [V] Lebih puas masak sendiri, Farahdhiya belanja RM1,000 sebulan beli barang di pasar tani
"Jemput makan semua. Bunga melati bagus untuk jantung.
"Mawar putih sedap rasanya seperti jambu air," katanya penuh berselera.
Dalam video lainnya, kelihatan Umi menjamah kelopak bunga mawar merah dan putih yang dicampur ke dalam segelas susu.

"Sekarang waktu rehat, jadi sudah masanya untuk makan.
"Makan bunga mawar baik untuk sistem imunisasi tubuh," dakwanya sambil menghirup segelas susu yang dicampur kelopak bunga mawar.
Selain dicampur dalam minuman, Umi juga menjadikan bunga-bungaan sebagai lauk untuk dimakan bersama nasi goreng dan bubur nasi.

Bahkan, dia mendakwa kelopak bunga yang dimakan bersama nasi goreng memiliki rasa yang sangat sedap dan wangi.
"Hari ini saya makan nasi goreng bersama bunga mawar.
"Rasanya sangat nikmat dan sedap.
"Kalau anda tidak berani makan kelopak bunga mawar, boleh cuba makan dengan nasi," katanya.

Menurut wanita yang dianggarkan berusia 40-an itu, selain mampu meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan, makan bunga seperti kemboja juga baik untuk menjaga kecantikan kulit wajah.
"Selain harum, bunga kemboja sangat baik untuk memelihara kecantikan kulit wajah," jelasnya.
Meninjau komen yang ditinggalkan pengikutnya di Instagram, rata-rata beranggapan bahawa wanita itu memiliki selera yang aneh dan menjijikan.

Malah tidak kurang juga yang beranggapan bahawa dia sengaja mencari populariti di media sosial apabila menjadikan aktiviti memakan bunga sebagai konten.
"Cuma gara-gara konten sahaja, sanggup makan bunga," kata seorang netizen.
"Cari sensasi. Hakikat sebenar rasa bunga tidak sedap," ujar seorang lagi netizen.