Tiramisu ‘mesin’ di Blok M Jakarta dianggap istimewa, tak sampai RM30 sebekas... Mula jadi buruan pelancong dari Malaysia
DI TENGAH hiruk-pikuk kota moden yang serba pantas, kehadiran mesin layan diri sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita.
Dari minuman segar hinggalah snek ringan, semuanya kini boleh didapati dengan hanya beberapa sentuhan jari dengan harga berpatutan.
Perubahan dunia hari ini – ditambah dengan kesibukan yang tiada berpenghujung membuatkan ramai tidak mempunyai masa untuk ke restoran bagi menikmati sepinggan nasi pada waktu bekerja.
Disebabkan itu, mesin layan diri atau vending machine turut mengalami transformasi dan tidak lagi sekadar menjual 'jajan' tetapi makanan segar untuk pelanggan yang mengejar masa.

Di Blok M, Jakarta Selatan misalnya, fenomena unik sedang menjadi bualan ramai iaitu sebuah vending machone menjual kek tiramisu.
Mesin yang dinamakan E-tiramisu Vending Machine ini berdiri megah di hadapan bakeri terkenal, London Layers, menawarkan dua varian rasa tiramisu — original dan matcha.
Harga yang ditawarkan sekitar Rp97.000 (RM24.62) sebekas, dan pembelian boleh dilakukan dengan mudah melalui debit atau imbasan QR code (QRIS).
MENARIK DIBACA: [V] Jualan cecah RM4 juta sebulan! Gula Cakery buka cawangan ke-16, pengasas kongsi rahsia kejayaan
MENARIK DIBACA: Tak sampai 5 minit masak singgang sotong, campak-campak jadi!
Tak lupa, sudu kayu turut dijual dengan harga Rp1.000 (RM0.25) sebagai pelengkap pengalaman menikmati tiramisu ini.
Pengalaman mencuba sendiri tiramisu dari mesin layan diri ini menjadi lebih menarik apabila kek disajikan dalam bekas besi berbentuk segi empat tepat yang unik dan kompak.
Ukurannya cukup besar untuk dinikmati dua hingga tiga orang, namun ada satu kejutan — tiramisu yang keluar dari mesin itu dalam keadaan beku dan keras!

Jangan risau, kerana ini memang sengaja dilakukan. Pembeli disarankan menunggu sekitar 10 hingga 15 minit supaya kek tersebut menjadi lembut dan siap untuk dinikmati.
Teksturnya yang lembut dan creamy, walaupun baru dicairkan dari keadaan beku, tetap mengekalkan rasa asli tiramisu yang manis seimbang dan aroma kopi yang menyerap.
Bagi pencinta manisan yang ingin merasakan kelainan dalam kemudahan teknologi, E-tiramisu Vending Machine ini membuktikan bahawa inovasi boleh menyatukan kepraktisan dan kelezatan dalam satu pengalaman yang tidak terlupakan.