Nampak macam sama... Ini perbezaan kuah kacang hidangan raya dan kuah kacang untuk sate!
WARNA kuah pun seakan- akan sama, pekat, coklat keperangan dan rasa lemak manis.
Tapi sebenarnya, kuah kacang hidangan menjelang raya dengan kuah kacang untuk hidangan sate ada perbezaan ketara daripada segi bahan, cara masakan dan juga fungsi dalam hidangan.
Perkara itu juga dikongsikan oleh seorang pengguna Threads dikenali sebagai Shasazzyz yang menegaskan kuah kacang dihidangkan pada hari raya tidak sama dengan kuah kacang sate.
Sebagai penggemar kuah kacang, wanita itu sangat prihatin mengenai perbezaan rasa kuah berkenaan yang dihidangkan ketika musim perayaan.

"Saya penggemar kuah kacang raya, atau sambal kacang dan saya ambil kisah. Sebenarnya untuk raya adalah sambal kacang dan kuah kacang makan dengan sate lebih mudah bezakan," kongsinya.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang turut bersetuju dengan pandangannya itu.
Berikut adalah perbezaan antara kuah kacang hari raya dan kuah sate yang ramai tak perasan:
1. Tekstur kuah berbeza
Kuah kacang raya biasanya lebih pekat dan berkrim kerana dijadikan sebagai kuah utama untuk nasi impit atau lontong. Kuah sate pula lebih cair sedikit supaya mudah disalut pada cucuk sate dan tak terlalu ‘berat’ bila dimakan.
2. Penggunaan santan
Kuah kacang raya selalunya menggunakan santan untuk menghasilkan rasa lemak lebih padu. Sebaliknya, kuah sate jarang guna santan atau hanya guna sedikit kerana fokusnya lebih kepada rasa kacang dan rempah.
3. Tahap kemanisan dan kepedasan
Kuah kacang hidangan raya cenderung lebih manis dan kurang pedas, sesuai untuk semua peringkat umur. Kuah sate pula biasanya lebih pedas dan ‘kick’ rasa cili lebih terasa bagi menaikkan selera.

4. Bahan kisar dan rempah
Walaupun kedua-duanya guna kacang tanah, kuah sate selalunya ada tambahan bahan seperti serai, lengkuas atau jintan untuk rasa lebih kompleks. Kuah kacang sajian raya pula lebih ringkas daripada segi bahan tetapi tetap kaya rasa.
MENARIK DIBACA: Kuali lama boleh jadi baru, hanya guna garam dalam teknik ‘seasoning’
MENARIK DIBACA: Wanita Mexico masak kuih 'loyang' gergasi, orang Malaysia pakat 'berkampung' dalam 'live'
5. Fungsi dalam hidangan
Kuah kacang raya dijadikan sebagai pelengkap utama hidangan seperti nasi impit, lontong atau ketupat. Kuah sate pula hanyalah pencicah untuk sate, bukan kuah utama.
6. Kaedah memasak
Kuah kacang raya biasanya dimasak lebih lama untuk mendapatkan tekstur pekat dan pecah minyak. Kuah sate pula dimasak sehingga cukup rasa, tapi tak semestinya terlalu lama kerana mahu kekalkan kesegaran rasa rempah.

7. Aroma dan bau
Kuah sate lebih kuat aromanya kerana penggunaan bahan seperti serai dan rempah tumis. Kuah kacang raya pula lebih ‘lembut’ baunya dengan dominasi santan dan kacang.
8. Ketahanan kuah
Kuah sate biasanya lebih tahan lama kerana kurang santan. Kuah kacang Raya yang bersantan pula lebih cepat basi jika tidak disimpan dengan betul.
