[V] Tak perlu terbang ke Seoul, kini Lotteria sudah ‘mendarat’ di Malaysia
KINI pencinta menu ikonik Shrimp Burger dan Bulgogi Burger Lotteria tak perlu lagi menempah tiket kapal terbang semata-mata untuk menikmati hidangan tersebut.
Pembukaan secara rasmi rangkaian makanan segera terkenal dari Korea Selatan, Lotteria di The Curve, Mutiara Damansara, menambah kemeriahan pilihan kulinari di Malaysia.
Kalau ada kesempatan berkunjung, menu wajib dicuba adalah Shrimp Burger, patty padat dengan inti dengan ketulan udang sebenar, memberikan tekstur lebih berjus dan premium.
Setiap gigitan bertambah menyelerakan apabila lapisan burger disempurnakan dengan sos mayonis berkeju melimpah.

Buat penggemar rasa manis smokey, Ria’s Bulgogi Burger juga antara pilihan burger disarankan untuk cuba.
Burger ini hadir dengan patty daging lembu disalut dengan sos bulgogi pekat melekit tanpa keju, mengekalkan keaslian cita rasa Korea.
Walaupun patty agak nipis, pilihan burger ini memberikan rasa seimbang, kaya dengan aroma.

Harga ala carte bagi Shrimp Burger adalah RM17.90 manakala bagi Ria’s Double Bulgogi Burger pula dari RM22.90 untuk mereka yang inginkan lebih daging dalam setiap gigitan.
MENARIK DIBACA: Resipi coleslaw salad paling ringkas, enak dimakan bersama ayam panggang
MENARIK DIBACA: Sinonim tempat lepak abang bomba, laksa warung ‘legend’ ini hanya RM8 semangkuk!
Lotteria bukan sekadar burger, tetapi pelanggan yang datang juga disajikan dengan pilihan menarik perhatian penggemar makanan jalanan Korea seperti Gangjung Chicken.
Uniknya tentang menu ini, ayam goreng disalut sepenuhnya dengan sos manis melekit gaya Korea, masih kekal rangkup dalam setiap gigitan, sesuatu jarang ditemui.
Menu ini dihidangkan pada RM18.90 satu.
Bagi kudap-kudap, boleh juga pesan stik keju rangup cair, lembut dan rangup pada setiap gigitan didatangkan dalam dua stik keju pada harga RM7.90.

Tambah juga kentang goreng Shake-Shake menyeronokan untuk seisi keluarga.
Pesanan kentang goreng Lotteria disertakan dengan paket perasa pilihan keju, lada dan bawang untuk digoncang bersama.
Harga bagi sebungkus kentang pula RM8.50 sesuai untuk dua orang makan.
Pengalaman makan di Lotteria tak lengkap tanpa pencuci mulut dan kena cuba keenakan gabungan rasa bingsu, Red Bean Bingsu Ice Shot berharga RM18.90.
Tambahan kacang merah dengan buah-buahan dan aiskrim vanila cukup menyegarkan tekak.

Tak perlu tunggu, datang rasa sendiri kelainan rasa menu disajikan oleh rangkaian makanan segera dari Korea ini.
Lotteria Malaysia dibuka menerusi kerjasama antara Lotte GRS Korea dan Serai Group Malaysia.
Difahamkan, sebanyak 30 cawangan Lotteria disasarkan dibuka dalam tempoh lima tahun di negara ini.
Alamat: GZF 5&6, Ground Floor, The Curve, 6, Jalan PJU 7/3, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi: 10 pagi hingga 10 malam