[V] Pan Mi di MadChilli buat teringat-ingat, paling best boleh ‘refill’ secara percuma!
BAYANGKAN kalau tengah lapar terhidang semangkuk pan mi panas-panas, digaul bersama cili potong, telur mata kuning cair dan ikan bilis rangup.
Setiap suapan terasa seimbang antara pedas, lemak dan rangup ikan bilis cukup buat membuka selera.
Paling best, kalau tak cukup sepinggan boleh tambah secara percuma!

Kedai pilihan Kuali, MadChilli Pan Mee satu-satunya restoran menawarkan menambah secara percuma khas buat pelanggan.
Dengan harga bermula RM13.90, sepinggan pan mi cili kering ini lengkap dengan 'aksesori' yang pelbagai.
Menariknya juga, di sini anda boleh memiih tahap kepedasan mengikut selera masing-masing.
MENARIK DIBACA: Cara buat pulut tetal rupanya tak susah, cicah dengan kaya pandan memang sedap!
MENARIK DIBACA: Patutlah ibu hamil suka makan jeruk! Di sebalik rasa masam dan manis, ada khasiat tersembunyi
Untuk yang baru mencuba, pedas tahap satu sudah cukup memberikan rasa pedas yang seimbang.
Paling nikmat, kenalah gaul semua bahan pelengkap rasa seperti telur mata, ikan bilis rangup dan ayam cincang sehingga sebati barulah terasa padu setiap suapan.

Bukan itu sahaja, pan mi laksa kari daging antara menu lain yang wajib dicuba dan menjadi pilihan pelanggan.
Dihidangkan dalam mangkuk besar yang penuh dengan mi kenyal, daging lembut serta kuah kari pekat dan berlemak, memang memikat selera suapan pertama.
Kalau nak lebih istimewa, jangan lepaskan peluang mencuba lala buttermilk claypot bersama roti mantao.
Mantou rangup di luar dan lembut di dalam ini memang sedap dicicah dengan kuah buttermilk lemak berkrim.

Lala pula segar dimasak sempurna dan dihidangkan dalam hidangan yang cukup banyak memang tak menang tangan nak makan!
Ditambah pula dengan suasana kedai selesa dan sesuai untuk makan bersama keluarga atau rakan-rakan, Madchilli Pan Mee sememangnya destinasi makan berbaloi untuk dikunjungi.
Jadi, tunggu apa lagi? Jangan lupa singgah dan rasai sendiri keenakan Madchilli Pan Mee.
Lokasi: LG-57, Madchilli Pan Mee, Berjaya Times Square Imbi, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (8 pagi hingga 10 malam)