Tak tahu nak bawa apa untuk ‘potluck’ pejabat? Ini 5 menu ‘confirm’ licin!
SIAPA yang tak teruja bila dengar perkataan potluck?
Waktu inilah bermacam-macam jenis makanan muncul atas meja dari kuih tradisional sampailah ke hidangan moden, semuanya menggamit selera.
Pendek kata, potluck memang jadi ‘syurga makanan’ versi pejabat!
Kalau anda tengah pening memikirkan apa mahu dibawa, jom tengok 5 idea potluck mudah - paling penting sedap dan confirm licin!

1. Nasi goreng kampung/cina
Nasi goreng sentiasa menjadi pilihan selamat untuk potluck.
Ia mudah disediakan dalam kuantiti besar, mengenyangkan dan boleh dimakan begitu sahaja tanpa perlu lauk tambahan.
MENARIK DIBACA: Dapur kaca nampak moden tapi datang dengan risiko... Ini panduan elak kejadian tak diingini
MENARIK DIBACA: Setiap negeri ada keunikan tersendiri, jenis laksa mana kegemaran anda?
Versi kampung dengan ikan bilis dan cili api sesuai untuk yang suka pedas manakala versi Cina pula lebih ringan dan sesuai untuk semua termasuk vegetarian.

2. Spaghetti bolognese/aglio olio
Masakan western seperti spaghetti juga kini menjadi kegemaran ramai.
Spaghetti bolognese dengan sos daging atau aglio olio lebih ringkas tanpa kuah sesuai untuk dijadikan hidangan utama potluck.
Ia mudah dikendalikan, tidak mudah basi dan boleh disajikan dalam tray besar untuk dikongsi ramai.

3. Popia goreng/samosa mini
Kalau anda ingin membawa sesuatu yang rangup dan ringan, popia goreng atau samosa mini adalah pilihan terbaik.
Snek ini sesuai untuk dimakan sambil berbual atau sebagai pembuka selera.
Anda boleh sediakan pilihan berinti sayur, ayam atau daging. Boleh juga tambah sos cili atau sambal kicap di tepi untuk lebih kick!

4. Puding karamel atau kek batik
Tak lengkaplah kan potluck tanpa pencuci mulut.
Puding karamel yang sejuk dan lembut pasti menyegarkan selepas makan berat.
Manakala kek batik pula sesuai untuk penggemar coklat dan mudah dibuat lebih awal.
Kedua-duanya tidak memerlukan banyak peralatan untuk disajikan dan tahan lama di suhu bilik.

5. Buah-buahan potong
Bagi anda ingin membawa sesuatu yang sihat dan menyegarkan, buah-buahan campur adalah pilihan yang tepat.
Campuran tembikai, anggur, epal dan oren dalam tray atau cawan cup bukan sahaja menjadikan sajian ini sihat, tetapi juga menarik dari segi warna.
Sangat sesuai untuk semua lapisan umur dan citarasa.