Digelar mi 'benang salji', warisan 300 tahun yukino ito somen kekal ke hari ini
MI dikenali sebagai yukino ito somen mungkin tidak begitu popular seperti sushi yang dianggap makanan kebangsaan negara tersebut.
Namun hakikatnya, mi diperbuat daripada gandum itu memiliki nilai sangat eksklusif sehingga ia digelar sebagai 'benang salji' dalam kalangan penduduk tempatan.
Tidak seperti udon, soba atau ramen, yukino ito somen mendapat gelaran itu kerana rupanya yang putih bersih, halus dan tipis seperti benang di kawasan bersalji.
Walaupun halus dengan diameter kurang daripada 1.3 milimeter, namun teksturnya tetap kenyal dan lembut walaupun selepas dimasak.

Sejarah mi tersebut bermula sejak zaman pemerintahan kerajaan Edo, iaitu kira-kira sekitar 300 tahun lalu oleh keluarga Saruwatari Seimenjo dari bandar Nankan yang terletak dalam wilayah Kumamoto.
Sehingga hari ini, yukino ito somen masih terus 'bernafas' selepas diwarisi selama 10 generasi, malah teknik pembuatannya kekal menggunakan cara tradisional menggunakan tangan.
Sama seperti mi tarik, ia dihasilkan secara manual melalui teknik 'tenobe' yang rumit.
MENARIK DIBACA: Harga 'king of cheese' boleh cecah RM800 juta! Bank di Itali terima jadi cagaran pinjaman
MENARIK DIBACA: Elak melekat dan lembik, rebus mi laksa pun ada teknik
Apa menjadikan 'benang salji' ini bersifat eksklusif, ia biasanya akan dihasilkan semasa musim sejuk dan dikeringkan di bawah sinar cahaya matahari.
Kerana proses pembuatannya rumit dan memerlukan kemahiran tinggi, tidak hairanlah ia dianggap sebagai salah satu produk mewah di Jepun.
Satu pek kecil yukino ito somen mengandungi tiga ikat mi yang dikeringkan dijual dengan harga sekitar 1,909 Yen atau RM48.

Walaupun melalui proses pembuatan agak renyah, namun cara sajiannya sangat sederhana.
Paling umum, makanan ini dihidangkan dalam keadaan sejuk bersama sos celup tsuyu, halia parut dan daun bawang.
Biasanya hidangan istimewa ini akan dihidangkan saat musim panas untuk memberikan kesegaran.