[V] Elak membazir, Lisdawati sekat nafsu suami membeli di bazar Ramadan... Selalu jadi mangsa habiskan makanan!
INGIN mengubah tabiat Ramadan sebelum ini, pasangan pelakon Lisdawati dan suami iaitu Fauzi Nawawi sedaya upaya menahan diri daripada menjejakkan kaki ke bazar tahun ini kerana tidak mahu membazir.
Tidak seperti tahun sebelumnya, Lisdawati, 47, berkata peti sejuk di rumah sentiasa penuh dengan makanan yang dibeli oleh suaminya.
Justeru, bagi mengelak perkara sama berulang, Lisdawati atau nama lengkapnya Nisdawati Nazaruddin berusaha menyekat suaminya itu daripada mengunjungi bazar Ramadan kerana bimbang nafsu membeli tidak mampu dikawal.

"Selalunya orang perempuan yang suka membeli, tapi untuk kes saya terbalik. Suami yang suka berbelanja sebab dia memang kaki bazar.
"Tapi tahun ini saya berjaya sekat nafsu suami.
"Bukan apa, saya tidak mahu membazir sebab tidak termakan dan akhirnya saya sendiri jadi DBKL untuk habiskan makanan itu," ujar pelakon yang mencipta nama menerusi filem KL Menjerit itu.
MENARIK DIBACA: 'Aunty' lepas geram belanja lebih RM800 tapau lauk Rembayung, Khairul Aming beri komen lucu
MENARIK DIBACA: [V] Isyariana cerewet bab makan - "Saya tak boleh telan kalau tak sedap walaupun tengah lapar"
Membetulkan kenyataan isteri tersayang, Fauzi, 52, berkata dia bukan dihalang untuk ke bazar, tetapi sekadar diingatkan supaya tidak membeli secara berlebihan.
"Saya bukannya disekat untuk pergi ke bazar Ramadan tapi isteri cuba mengingatkan saya supaya tidak membazir.
"Sebab sebelum ini memang makanan yang dibeli di bazar Ramadan akan berkumpul dalam peti sejuk setiap hari sampai hampir sebulan (terbiar) dalam peti sejuk sehingga nak meletup," ujarnya.
Saya bukannya disekat untuk pergi ke bazar Ramadan tapi isteri cuba mengingatkan saya supaya tidak membazir.
Fauzi Nawawi
Pun begitu, Lisdawati memberitahu sekiranya dia tidak sempat menyediakan menu berbuka di rumah, dia tidak keberatan untuk ke bazar, sekali gus berkongsi rezeki dengan peniaga.
"Bila tak sempat atau penat nak masak, saya akan ajak ke bazar dan membeli seadanya sambil berkongsi rezeki dengan peniaga," katanya.