'Aunty' lepas geram belanja lebih RM800 tapau lauk Rembayung, Khairul Aming beri komen lucu
RESTORAN milik pempengaruh Khairul Aming (KA) iaitu Rembayung tidak pernah sepi daripada menjadi bualan sejak dibuka Januari lalu.
Setiap hari, restoran yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu sentiasa penuh dengan pelanggan, malah mereka yang mahu pergi perlu 'berjuang' untuk mendapatkan slot dan kerusi.
Bagi yang gagal mendapatkan tempat di Rembayung, mereka sanggup membungkusnya asalkan dapat menikmati makanan hasil air tangan KA.

Seperti kisah yang dikongsikan pemilik akaun Threads bernama @mardianadickson tentang ibunya yang sanggup berhabis sehingga lebih RM800 untuk tapau makanan di Rembayung untuk dibawa pulang.
Menerusi hantaran yang dikongsikan, wanita itu turut memuat naik foto ibunya bergambar di hadapan Rembayung sambil memegang resit.
"Bukan saya nak menunjuk, tapi mak saya ni saya risau. Agaknya dia kalah 'battle' untuk dine-in dekat Rembayung dia seperti 'frust'.
"Hampir semua lauk dia 'sapu' untuk 'takeaway' dengan bil RM800 lebih ni nak stok up makanan Rembayung dalam peti ais sebulan agaknya. Bukan main posing walaupun 'takeaway'," tulisnya.
MENARIK DIBACA: Kecil tapi 'power', ketahui 7 manfaat biji sawi untuk tubuh
MENARIK DIBACA: Sedapnya rasa masam, pedas ikan tenggiri masak cincuan... Lauk lain dah tak perlu!
Sementara itu, melihat pada bil yang dikongsikan, ibu wanita tersebut dilihat membeli sehingga 17 jenis makanan antaranya siput sedut masak lemak cili api, daging salai masak lemak cili api, gulai utara ikan jenahak, udang sambal tumis petai, ayam kampung sambal berlada serta dua jenis hidangan ringan cekodok pisang dan cucur udang.
Tidak berdiam diri, KA dalam satu komen yang ditinggalkan meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada wanita tersebut serta meninggalkan doa yang mencuit hati.
"Semoga 'aunty' dikurniakan rezeki yang murah, kesihatan berpanjangan, duit raya melimpah ruah, 'traffic light' selalu hijau.

"Puasa tak dahaga, baju raya tak berkedut, bateri telefon lambat habis. Amin. Sayang 'aunty'," tulisnya.
Sekadar info, Rembayung menetapkan pelanggan wajib membuat tempahan awal (tiada walk-in) dengan bayaran deposit sebanyak RM10 seorang. Masa untuk makan pula dihadkan selama 1 jam 45 minit.
Tempahan dibuka untuk kumpulan minimum tiga hingga lapan orang, manakala pembayaran pula tanpa tunai (cashless).