Piza kaviar harga lebih RM200 sepotong, dibuat guna doh Itali usia 60 tahun
PIZA sering dianggap makanan 'marhaen' yang mudah didapati dengan harga murah di luar negara, namun sebuah restoran di Amerika Syarikat (AS) menjual piza pada harga tak masuk akal.
Restoran Marina's Pizza Co. di Philadelphia menjadi perhatian apabila memperkenalkan menu istimewa piza kaviar (telur ikan premium), dijual pada harga AS$55 (RM220) sepotong.
Piza mewah itu tidak menggunakan 'topping' biasa, sebaliknya dipadankan dengan 28 gram kaviar daripada jenama dan pembekal premium, Caviar XS.

Menu eksklusif it turut mempunyai campuran keju import dari Itali sebelum dihias dengan kaviar premium bagi memberikan pengalaman rasa luar biasa kepada pelanggan.
MENARIK DIBACA: Makanan dalam peti sejuk asyik lesap bagai jadi 'adat' di rumah sewa, ramai beri idea ajar pelaku!
MENARIK DIBACA: Ibu risau berat bayi tak naik-naik masa umur 9 bulan! Syukur keju jadi penyelamat
Pemilik restoran, Mason Lesser berkata, idea menghasilkan menu tersebut tercetus selepas dia mencuba kaviar premium dibekalkan oleh pemilik syarikat, Gary Shusman.
"Saya mula bereksperimen selepas menerima sampel kaviar itu dan hasilnya memang mengejutkan," katanya.
Tambahnya lagi, gabungan rasa piza dan kaviar mencipta pengalaman rasa unik yang sukar dilupakan.
"Memang harganya mahal untuk sekeping piza, tetapi saya percaya pengalaman menikmatinya sangat berbaloi dan ramai akan menyukainya," ujarnya.
Menariknya, piza tersebut turut dihidangkan menggunakan pinggan emas bersama sudu khas mother-of-pearl untuk menikmati kaviar, malah sudu itu boleh dibawa pulang sebagai cenderahati.
Menurut pihak restoran, pelanggan juga diberi pilihan sama ada mahu kakitangan restoran meletakkan kaviar terus di atas piza atau menikmatinya secara berasingan mengikut cita rasa masing-masing.
Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah sendiri kaviar pada piza mereka atau meminta staf melakukannya.
Menu 'kayangan' tersebut hanya dijual dalam kuantiti terhad setiap hari dan eksklusif untuk pelanggan yang makan di restoran.
Sebagai perbandingan, harga piza biasa di restoran sama jauh lebih murah, dengan sekeping piza Margherita berharga RM20, manakala piza pepperoni bersaiz 18 inci pula sekitar RM92.

Bukan sekadar 'topping' mewah, rahsia keenakan piza di restoran itu turut terletak pada dohnya.
Setiap piza dihasilkan menggunakan 'starter' (ibu doh) Itali yang dipelihara secara berterusan selama 60 tahun yang kemudian diperam selama 48 jam sebelum dibakar menggunakan ketuhar klasik.
Teknik itu menghasilkan tekstur piza gaya New York rangup di luar namun kekal lembut di bahagian dalam.
Walaupun harganya dianggap 'cekik darah', piza unik itu menerima pelbagai reaksi positif di media sosial dengan ramai netizen mengakui teruja dan ingin mencubanya sendiri.