Ketahui sejarah, keistimewaan piza Neapolitan! Dulu makanan orang miskin, kini bertaraf dunia
PIZA Neapolitan bukan sekadar hidangan terkenal dari Itali, malah menajdi antara makanan kaya dengan simpanan sejarah dan budaya tempatan.
Berasal dari bandar Naples (Napoli), Itali, piza itu pada mulanya bukanlah makanan mewah.
Sebaliknya ia menjadi hidangan harian golongan pekerja dan masyarakat bawahan sekitar abad ke-18 kerana harganya murah malah mudah disediakan dan mengenyangkan.
Dalam dunia piza Neapolitan, semakin cantik corak 'leoparding' pada kerak, semakin tinggi penghargaan oleh penggemar piza kerana melambangkan teknik pembuatan autentik.
Antara sebab bintik itu terjadi kerana doh dibakar pada suhu sangat tinggi, sekitar 430 darjah selsius menggunakan ketuhar kayu dan hanya mengambil masa kurang 90 saat untuk masak.

Suhu tinggi menyebabkan gelembung udara pada doh cepat mengembang, manakala bahagian tertentu pada kerak mengalami proses karamelisasi dan sedikit hangus, lalu menghasilkan tompok hitam.
Kini seni pembuatan piza Neapolitan turut diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2017.
Berikut lima fakta menarik tentang piza Neapolitan mungkin tak diketahui ramai:
1. Hanya tiga jenis piza Neapolitan asli
Jika ingin merasai piza Neapolitan autentik diiktiraf sebagai piza Neapolitan asli oleh Kementerian Kebudayaan Itali, inilah tiga variasi perlu dicari.
-Pizza Napoletana Marinara, dihasilkan dengan sos tomato, oregano, bawang putih dan minyak zaitun.
-Pizza Napoletana Margherita, menggunakan keju mozzarella bersama daun selasih segar.
-Pizza Napoletana Margherita Extra, hampir sama seperti Margherita, tetapi menggunakan mozzarella di bufala DOP.
MENARIK DIBACA: Murid darjah 1 'kantoi' curi makanan cikgu! Bukan untuk makan, tapi jual kepada kawan - "Sedih tengok budak sekarang"
MENARIK DIBACA: Beli Musang King RM400, dapat isi hancur! Penjual 'refund' RM200 tapi tak ikhlas, mengaku 'tak halalkan'
2. Menggunakan bahan-bahan asli
Keaslian piza Neapolitan bukan sekadar bergantung pada resipi, malah setiap bahan digunakan perlu memenuhi piawaian tertentu.
Antara bahan utama termasuk Tomato San Marzano dari Itali dikisar tanpa dimasak, keju mozzarella, daun selasih segar dan minyak zaitun.
Gabungan bahan-bahan berkualiti itu menghasilkan rasa asli piza Neapolitan.

3. Dibakar guna ketuhar kayu
Piza Neapolitan tradisional hanya dibakar menggunakan ketuhar kayu. Haba tinggi daripada api kayu membantu doh mengembang dengan sempurna dalam tempoh singkat, menghasilkan kerak nipis, lembut di bahagian tengah serta sedikit hangus di bahagian tepi.
Kaedah pembakaran ini juga memberikan aroma berasap menjadi identiti piza Neapolitan.
4. Tomato pernah dianggap beracun
Sebelum abad ke-18, tomato belum digunakan secara meluas di Itali. Buah ini dibawa ke Eropah oleh pengembara pada abad ke-16, namun ramai percaya ia beracun dan tidak selamat dimakan.
Penduduk miskin di Naples kemudiannya mula menggunakan tomato sebagai topping roti leper kerana harganya murah.
Gabungan itu bagaimanapun menghasilkan hidangan enak sehingga masyarakat luar mula berkunjung ke Naples semata-mata untuk menikmati piza tersebut.

5. Piza Margherita diilhamkan daripada bendera Itali
Menurut sejarah, pada 1889 seorang pembuat piza terkenal, Raffaele Esposito menghasilkan piza khas untuk Ratu Margherita dari Itali.
Tiga bahan utama dipilih melambangkan warna bendera Itali, iaitu merah daripada tomato, putih daripada keju mozzarella dan hijau daripada daun selasih.
Ratu Margherita dikatakan amat menyukai hidangan itu lalu piza berkenaan dinamakan sempena baginda bahkan kekal menjadi antara piza paling popular di dunia.