Kafe letak anak singa sebagai tarikan, pelancong cedera digigit
SEBUAH kafe di Phuket, Thailand disiasat pihak berkuasa selepas seorang pelancong wanita cedera digigit anak singa yang ditempatkan di kafe tersebut sebagai tarikan.
Menurut laporan media tempatan, kejadian pada minggu lalu berlaku ketika wanita dari China itu menyertai aktiviti interaksi bersama haiwan di kafe tersebut yang bertemakan singa.
Berdasarkan perkongsian yang tersebar di media sosial, pelancong terbabit yang digigit pada tangan telah diberikan rawatan antiseptik serta suntikan rabies.

Memetik laporan Xiaoxiang Morning Herald, pelancong tersebut memaklumkan dia tidak mengalami masalah kesihatan serius selain demam ringan serta sakit pada bahagian lengan selepas menerima suntikan.
Susulan insiden ini, pihak berkuasa Phuket telah menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa premis yang menawarkan pengalaman mendekati singa.
Pemeriksaan itu turut menarik perhatian kerana kewujudan kafe singa di Phuket sebelum ini pernah mencetuskan perdebatan mengenai aspek keselamatan pengunjung, kebajikan haiwan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan pemilikan hidupan liar.
MENARIK DIBACA: Kebab daging guna roti siap tak sampai 10 minit, boleh buat bekal untuk suami dan anak
MENARIK DIBACA: Lemak manis, lembut 'gedik-gedik'... Kaswi jagung bersantan bikin anda jatuh cinta
Pada Mac lalu, sebuah kafe singa di Phuket Old Town menjadi perhatian selepas video anak singa yang ditempatkan di dalam premis berkenaan tular di media sosial.
Pihat berkuasa tempatan mengesahkan kafe berkenaan memiliki tiga ekor singa yang didaftarkan mengikut undang-undang Thailand.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kafe singa semakin popular di beberapa lokasi pelancongan Thailand, termasuk Phuket, Chiang Mai dan Bangkok, dengan pengunjung dikenakan bayaran untuk duduk berhampiran anak singa serta mengambil gambar bersama haiwan tersebut.

Bagaimanapun, penguatkuasaan terhadap pemilikan dan operasi kafe haiwan liar sebelum ini pernah menjadi perhatian selepas beberapa kes melibatkan pelanggaran syarat pendaftaran dan kebajikan haiwan.
Jabatan Taman Negara Thailand memaklumkan premis berdaftar akan diperiksa secara berkala bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
Setakat ini, identiti kafe yang dikaitkan dengan kejadian gigitan pelancong China itu masih belum didedahkan