Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 himpunkan pemain industri seluruh Asia
MALAYSIA bakal menjadi tumpuan penggiat kopi Asia apabila Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 diperkenalkan sebagai platform baharu menghimpunkan pemain industri dari rantau ini.
Kedua-dua acara itu turut mengetengahkan budaya dan perkembangan industri kopi, malah membuka peluang lebih luas untuk perkongsian ilmu, jaringan perniagaan serta kerjasama antara pengusaha kopi tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, perkembangan budaya kopi tempatan boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan dengan memperkenalkan identiti Malaysia kepada pengunjung.
“Budaya kopi Malaysia mencerminkan kepelbagaian, kreativiti dan sifat ramah masyarakat kita.

"Festival ini juga memberi peluang kepada pelawat untuk mengenali Malaysia daripada sudut berbeza lebih lagi menerusi makanan, minuman dan perniagaan tempatan.
“Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia dapat menghubungkan pemain industri tempatan dengan rangkaian pelancongan dan perniagaan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan majlis pra-pelancaran yang berlangsung di Pavilion Damansara Heights pada Isnin lalu.
MENARIK DIBACA: Abang kantin dipuji sedia makanan dengan penuh kasih sayang - "RMT paling cantik setakat ini"
MENARIK DIBACA: Wanita cetus 'kontroversi' lepas kongsi amalan gaul ayam kunyit guna tangan - "Saya pakai mesin basuh"
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim bersama pemain industri kopi, pengusaha kafe, rakan strategik serta wakil organisasi berkaitan yang menyokong perkembangan industri kopi tempatan dan serantau.
Pada majlis sama, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dan Asia Specialty Coffee Association (ASCA) berpangkalan di Korea Selatan turut dimeterai bagi menjayakan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027.
Sidang kemuncak itu dijadual berlangsung dari 2 April hingga 4 April 2027 serentak dengan Festival Kopi Kuala Lumpur 2027.
Kedua-dua acara terulung itu dijangka menghimpunkan pengeluar kopi, pemanggang kopi, pengusaha kafe, usahawan serta profesional industri dari seluruh Asia.
Selain menjadi medan pertukaran ilmu dan kepakaran, acara berkenaan turut membuka peluang kepada pemain industri membina jaringan perniagaan serta meneroka kerjasama di peringkat serantau.

Turut menjadi acara kemuncak ialah Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia pada malam 3 April 2027 bagi mengiktiraf kafe dan pengusaha yang mencapai kecemerlangan dalam industri.
Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 bakal berlangsung dari 6 hingga 9 November 2026 dengan mengetengahkan perjalanan industri kopi tempatan bermula daripada warisan kopi tradisional sehingga perkembangan kopi khusus.
Penganjuran festival dan sidang kemuncak itu dilihat mampu memberi limpahan kepada sektor pelancongan, termasuk perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan serta pengangkutan, selain mengangkat kopi sebagai sebahagian daripada pengalaman gastronomi.
Laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak Kopi Asia turut dilancarkan bagi membolehkan pemain industri dan bakal peserta mendapatkan maklumat berkaitan program serta peluang penyertaan.