Dapur Siswa Madani diperluas ke politeknik, institut pendidikan guru... Tiada pelajar IPT berlapar
PENGUMUMAN Belanjawan Madani 2027 di bawah Pendidikan Untuk Semua menyaksikan Kementerian Pendidikan kekal menerima peruntukan tertinggi iaitu hampir RM69 bilion, berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini.
Antara yang diumumkan adalah pelaksanaan Program Dapur Siswa Madani yang akan diperluaskan ke politeknik dan institut pendidikan guru dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Ikhtiar yang dilaksanakan meliputi penyediaan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa dengan nilai RM5.
Menariknya, pihak yang sedia untuk menyumbang makanan dan peralatan bagi tujuan pelaksanaan Program Dapur Siswa Madani ini bakal menerima potongan cukai mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Program Dapur Siswa Madani merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Belanjawan 2025.
Antara objektif utama pelaksanaan Program Dapur Siswa Madani adalah untuk memastikan tiada mahasiswa yang terpaksa menahan lapar atau terputus bekalan makanan akibat kekangan kewangan terutama membabitkan golongan pelajar B40 dan golongan asnaf,
Selain itu, Program Dapur Siswa Madani juga bertujuan untuk menggalakkan semangat berdikari, kerjasama, dan kebajikan bersama dalam komuniti universiti.
Menu Kasih Siswa pula merupakan satu inisiatif oleh KPT yang dilancarkan pada April 2026 bagi membantu mahasiswa mendapatkan makanan ruji berkhasiat pada harga yang sangat berpatutan.
Antara hidangan yang ditawarkan termasuklah nasi putih berserta satu lauk dan sayur, bihun atau mi goreng bersama telur mata, nasi lemak, sehinggalah ke variasi kreatif bajet seperti Nasi Bujang (nasi putih bersama dua telur dadar dan sayur) pada harga antara RM3 hingga RM5.
Program ini merupakan kesinambungan, penambahbaikan dan penjenamaan semula kepada konsep Menu Siswa Rahmah yang diperkenalkan sebelum ini.