Pajeri rambutan bukan menu pelik, ramai dah makan sejak kecil... Boleh juga masak kari
KEBIASAANNYA menu pajeri dimasak menggunakan nanas atau terung sebagai bahan utama.
Siapa sangka buah rambutan yang lazimnya dimakan segar atau dijadikan jem juga boleh diolah menjadi pajeri.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang wanita terkejut apabila penyelianya membawa bekal pajeri rambutan ke tempat kerja.
"My supervisor hari ini bawa bekal pajeri rambutan? Sumpah first time dengar dan tahu kewujudan menu ni hahaha," tulisnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai respon netizen, malah ramai mengakui mereka juga baru pertama kali mendengar tentang hidangan tersebut.
Bagaimanapun, ada juga yang mendedahkan pajeri rambutan sebenarnya bukanlah menu asing kerana mereka sudah menikmatinya sejak kecil.

"Tapi sedap. Pernah makan sekali mak saya buat sebab rambutan banyak sangat dekat rumah.
"Saya selalu makan dari kecil. Selalu buat pajeri rambutan ni guna rambutan yang isi lekat dengan biji. Sedap!
"Pajeri rambutan tak pernah makan, tapi gulai (kari) rambutan pernah makan. Sedap sangat buat ceroi-ceroi (cair)," antara komen netizen.
MENARIK DIBACA: Tip simpan kelapa parut... Kekal segar berbulan-bulan, tak hilang rasa lemak
MENARIK DIBACA: Keropok lekor 'homemade' guna lebihan nasi, lebih 'fresh' dari beli di kedai
Malah, ada yang menyifatkan rasanya tidak jauh berbeza dengan pajeri nanas.
"Lebih kurang pajeri nanas saja korang. Manis-manis dia tu," kongsi salah seorang warganet.

Dalam pada itu, ada netizen mendedahkan hidangan tersebut lazimnya menggunakan rambutan yang isinya tidak lekang dari biji.
"Saya pun first time dengar daripada akak tempat kerja saya. Katanya, selalu rambutan yang isi tak lekang yang diaorang buat pajeri," katanya.
Tidak kurang juga yang mengakui baru mengetahui kewujudan menu berkenaan.
"Uishh first time juga ni. Selalu nanas dan pelam saja.
"Rare ni tapi nampak sedap. Jangan sampai pajeri rambutan ni viral kang semua fomo (ketinggalan) nak cuba termasuk saya.
"Ya tuhan, tempting tengok. Tak pernah makan, teringin nak rasa ye," komen netizen lagi.