Tak sekadar harum, lambat basi... Masak nasi letak bawang putih bantu buang angin dalam badan
BAGI golongan bujang, memasak nasi satu periuk dianggap satu pembaziran kerana biasanya mereka hanya makan sesenduk dua sahaja.
Apabila tak habis dimakan, ia akan basi dan berair jika disimpan dengan cara salah.
Menurut seorang pengguna dikenali sebagai Emiley Adlan ada cara mudah untuk nasi tahan lama iaitu dengan memasaknya bersama bawang putih.

Caranya cukup mudah, bawang putih hanya perlu dimasukkan ke dalam periuk apabila nasi mula kembang, kemudian ditutup seperti biasa untuk membolehkan aroma meresap.
“Siapa masak nasi letak bawang putih macam ni rasanya sedap sangat… bau macam nasi ayam sikitlah, lepas tu sedap sangat sampai bertambah-tambah nasi,” katanya.
Tidak bercerita lanjut tentang manfaat petua itu, perkongsian itu bagaimanapun menarik perhatian netizen yang mula berkongsi pengalaman masing-masing.
MENARIK DIBACA: Dah cuba banyak tip, nasi dimasak tetap cepat basi! Netizen kongsi petua, ada kait dengan mistik
MENARIK DIBACA: Famili kecil, orang bujang disaran masak nasi dalam cawan... Hasil 'cantik', tak berkerak
Rata-rata komen turut bersetuju bahawa penambahan bawang putih boleh membantu melambatkan proses nasi menjadi basi.
Ini dikaitkan dengan sifat semula jadi bawang putih yang mempunyai ciri antimikrob dan bau yang kuat.
“Betul. Nasi lambat basi dan lembik. Semut pun tak nak hinggap nasi tu,” komen seorang pengguna.
Menariknya, terdapat juga netizen yang berkongsi pengalaman lain menggunakan kaedah sama dengan cara mencucuk bawang putih dalam nasi.

Individu itu mendakwa ia bukan sahaja memberi aroma sedap, tetapi juga dipercayai membantu menyingkirkan angin daripada badan.
Ini kerana dalam perubatan tradisional, bawang putih ada sifat karminatif iaitu membantu lancarkan penghadaman dan kurangkan gas dalam usus.
“Saya pun buat macam ni tapi saya cucuk-cucuk dalam nasi. Boleh buang angin dalam badan juga,” komen seorang lagi pengguna.