Buah siap potong memang memudahkan, tapi bukan pilihan terbaik - Penasihat diet
RAMAI dalam kalangan kita memilih untuk membeli buah-buahan sudah siap dipotong kerana lebih mudah, cepat dan terus boleh dimakan tanpa perlu bersusah payah mengupas kulit atau memotongnya sendiri.
Menurut seorang penasihat pemakanan dikenali sebagai @crystal_dietian, dia sendiri jarang membeli buah-buahan jenis ini kerana kandungan nutrisinya mungkin sudah terjejas.
Jelasnya, nutrien buah-buahan sangat sensitif terhadap tiga perkara utama iaitu cahaya, udara dan jangka masa pendedahan selepas dipotong.

“Buah-buahan sangat bagus sebab ada serat yang tinggi, tapi kalau beli yang siap potong kemungkinan nutrisinya merosot,” katanya.
Menurut Crystal, apabila buah-buahan dipotong, ia akan terdedah kepada oksigen di udara luar dan keadaan ini menyebabkan proses pengoksidaan berlaku.
“Buah-buahan yang dipotong, ia terdedah dengan oksigen dekat luar. Oksigen akan menyebabkan 'oxidation' yang akan menyebabkan kekurangan nutrien,” jelasnya.
Selain udara, cahaya juga boleh menjejaskan kualiti buah, terutama vitamin C apabila ia diletakkan terlalu lama di tempat terbuka.
MENARIK DIBACA: 7 jenis buah ini perlu dimakan pada waktu sesuai, khasiat terjejas jika main 'langgar'
MENARIK DIBACA: Jangan keliru, khasiat jeruk jauh beza dengan buah segar! Penghidap asma perlu hati-hati
“Nutrisi dalam buah-buahan sangat sensitif dengan cahaya juga. Kalau letak kat luar, vitamin C akan berkurang,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, tempoh masa buah dibiarkan selepas dipotong juga memberi kesan kerana semakin lama ia terdedah, semakin banyak kandungan nutrien yang hilang.
Disebabkan itu, Crystal lebih memilih buah-buahan segar yang dipotong sendiri setiap kali mahu makan.
“Kalau nak buah-buahan yang senang dan boleh makan segera, boleh pilih buah-buahan macam epal, pisang, oren. Lepas dah cuci dah boleh terus makan,” ujarnya.