Asyik makan makanan sama, doktor dedah kanak-kanak buta akibat kurang vitamin B12
IBU bapa zaman sekarang sering berdepan cabaran apabila anak memilih makanan dan enggan menjamah sayur-sayuran atau sumber protein.
Tabiat pemakanan kelihatan biasa itu sebenarnya boleh mengundang risiko kesihatan serius jika dibiarkan berlarutan.
Seorang pakar perubatan, Dr Mohd Qarafi, menerusi perkongsian di Threads mendedahkan kes membabitkan seorang kanak-kanak di United Kingdom (UK) mengalami masalah buta kekal akibat kekurangan nutrisi berpunca daripada diet terlalu terhad.

Menurutnya, kanak-kanak itu hanya mengambil makanan berasaskan karbohidrat seperti kentang goreng dan kerepek kentang, tanpa mengambil sayur-sayuran atau sumber protein.
"Kanak-kanak ini hanya makan karbo seperti kentang goreng, kerepek kentang dan tak makan langsung sayur atau protein.
MENARIK DIBACA: [V] Pemuda 'jual' nama 'A Jeo Ssi' buka restoran Korea, kimchi bukan sekadar 'banchan'
MENARIK DIBACA: Wajah lebih berseri, parut pudar dan rambut berkilat lepas amal minum kolagen sisik ikan
"Tiba-tiba satu hari, kanak-kanak ini disahkan buta. Keadaan ini digelar sebagai nutritional optic neuropathy dan selalunya disebabkan kekurangan nutrisi dan vitamin," katanya menerusi satu video.
Dr Mohd Qarafi menjelaskan, pemeriksaan mendapati kanak-kanak tersebut mengalami kekurangan vitamin B12 yang memainkan peranan penting dalam memastikan saraf mata berfungsi dengan baik.

"Apabila vitamin B12 kurang, ia menyebabkan fungsi saraf mata rosak dan kanak-kanak itu buta selama-lamanya," jelasnya.
Kongsi pakar itu lagi, vitamin B12 boleh diperoleh daripada makanan berasaskan haiwan seperti daging, ikan, telur, susu dan produk tenusu, justeru pengambilan protein mencukupi amat penting terutama dalam kalangan kanak-kanak sedang membesar.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan sikap memilih makanan dalam kalangan anak-anak, lebih-lebih lagi jika mereka hanya mahu mengambil satu kumpulan makanan dalam tempoh yang lama.