Buah bukan musuh pesakit diabetes! Pakar kongsi cara makan, cadangan saiz elak gula 'spike'
PENGHIDAP diabetes tak perlu mengelakkan buah-buahan sepenuhnya dan masih boleh menikmatinya asalkan tahu cara makan dan kuantiti yang betul.
Pakar diet, Asri Badrul Hisyam, menceritakan pengalaman mengendalikan seorang pesakit diabetes jenis 2 yang mempunyai tabiat makan buah dalam kuantiti agak banyak.
Menurutnya, pesakit tersebut mula bimbang selepas didiagnosis menghidap diabetes kerana makan buah sudah menjadi rutin hariannya sejak sekian lama.
"Patient dah mula risau sebab makan buah ni dah habit bagi dia. Persoalannya, boleh ke pesakit diabetes makan buah?" tulisnya menerusi satu hantaran di Threads.

Jelas Asri, semua buah memang mengandungi gula semula jadi, namun ia tidak sama seperti gula putih kerana buah turut mengandungi serat yang membantu memperlahankan kenaikan gula dalam darah.
"Nak senang cerita, perjalanan pemprosesan 'fructose' dan 'sucrose' ni sedikit panjang berbanding 'glucose' dalam meningkatkan tahap glukosa darah.
"Selain komposisi gula semulajadi yang berbeza jika dibanding dengan gula putih, buah juga ada serat (fiber). Serat juga akan memperlahan kenaikan gula darah," jelasnya.
MENARIK DIBACA: Tembikai dan nanas banyak khasiat... Mana satu lebih baik untuk pesakit diabetes?
MENARIK DIBACA: 7 makanan sunah ini bantu kawal diabetes... Kajian penyelidik turut sahkan nutrisi, keberkesanannya
Bagaimanapun, dia menegaskan perkara itu tidak bermakna buah boleh dimakan sesuka hati tanpa mengira kuantiti.
Menurutnya, saranan umum bagi penghidap diabetes adalah mengambil sekitar dua hingga tiga hidangan buah sehari kerana buah masih membekalkan pelbagai nutrien penting yang diperlukan tubuh.
"Kenapa masih disarankan walaupun bergula? Sebab selain serat, buah ada banyak zat yang baik macam vitamin dan phytonutrient. Sangat rugi jika buah disingkirkan daripada diet," katanya.
Bagi memudahkan orang ramai membuat pengiraan untuk satu hidangan buah, Asri berkongsi formula ringkas menggunakan saiz tangan sebagai panduan.

- Buah gugus - Satu genggam (anggur, langsat, mata kucing)
- Buah saiz penumbuk - Satu biji (epal, oren)
- Buah sederhana - Setengah biji (jambu batu, naga, mangga)
- Buah besar - Satu potong panjang (betik, tembikai, nanas)
- Buah ulas - 2-3 ulas (ikut saiz. nangka, durian)
- Pisang - Satu biji pisang berangan