Jadi penjaring gol terbanyak Piala Dunia, 'yerba mate' rahsia Messi kekal fokus di padang
DI Argentina, teh bukan sekadar minuman tapi satu budaya!
Salah satu yang paling ikonik ialah 'yerba mate', teh herba pahit yang menjadi pilihan minuman harian kebanyakan rakyat negara itu termasuk bintang bola sepak dunia, Lionel Messi.
Bukan setakat menjadi kesukaan, Messi malah dilihat sering membawa termos dan cawan 'mate' ke mana-mana sahaja sehinggalah ke sesi latihan serta dikongsi bersama rakan sepasukan.
'Yerba mate' ialah minuman herba tradisional yang berasal dari Amerika Selatan dan popular terutama di Argentina, Uruguay, Paraguay dan selatan Brazil.

Ia diperbuat daripada daun pokok Ilex paraguariensis yang dikeringkan dan direndam dalam air panas seperti teh.
Dari segi rasa, teh tradisi Argentina sedikit pahit, beraroma herba dan mempunyai rasa 'earthy' yang kuat, hampir menyerupai teh hijau tetapi lebih pekat.
Sesetengah individu akan menambah madu, lemon atau minum sejuk untuk menambahkan lagi keenakannya.
'Yerba mate' mengandungi kafein semula jadi, antioksidan, vitamin B dan mineral seperti kalium dan mangnesium.
MENARIK DIBACA: Piala Dunia 2026: Sebelum sepak mula, penyokong berpesta 'tailgate' di luar stadium
MENARIK DIBACA: Bawa lebih 2,600kg daging di Qatar, Argentina teruskan tradisi 'asado' di Piala Dunia 2026
Kandungan ini menjadikannya minuman yang sering diambil untuk meningkatkan tenaga, membantu fokus serta mengurangkan rasa letih secara semula jadi.
Tidak hairanlah ramai atlet profesional memilih 'yerba mate' sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka kerana ia memberikan rangsangan tenaga yang lebih stabil berbanding minuman tenaga biasa.
Dalam kempen FIFA World Cup 2026, Messi terus mencipta sejarah apabila muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia dengan catatan 18 gol.
Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, tetapi juga menggambarkan ketahanan, disiplin dan konsistensi luar biasa sepanjang kariernya.