7 makanan ini nampak biasa, tapi boleh jejas 'mood' dan kualiti hubungan intim
INGINKAN hubungan intim lebih bertenaga dan 'mood' membara, pilihan makanan sebelum bersama pasangan juga perlu diberi perhatian.
Sesetengah makanan yang diambil sebelum melakukan hubungan intim boleh menyebabkan perut kembung, badan terasa berat, cepat lesu malah menyebabkan nafas berbau.
Keadaan ini mungkin mengganggu keselesaan dan suasana ketika bersama pasangan.
Memetik laporan portal The Healthy, berikut tujuh jenis makanan yang wajar dielakkan atau dihadkan sebelum bersama pasangan.

1. Kekacang
Kacang merah, lentil dan 'chickpea' boleh menyebabkan perut kembung untuk sesetengah individu.
Kandungan serat dan gula tertentu dalam kekacang agak sukar dicerna menyebabkan proses fermentasi dalam usus kemudiannya menghasilkan gas.
Kesannya, perut boleh terasa penuh dan tidak selesa.
2. Sayuran krusiferus
Brokoli, kale, kubis dan bok choy sememangnya kaya dengan nutrien.
Bagaimanapun sayuran ini juga boleh menyebabkan penghasilan gas dalam usus kerana kandungan serat dan sebatian sulfur.
Sesetengah individu mungkin mengalami kembung atau lebih banyak kentut selepas mengambilnya.
MENARIK DIBACA: Jangan harap pada Tongkat Ali saja, tiram dan kacang badam boleh bantu masalah tenaga batin
MENARIK DIBACA: Tak payah beli produk mahal-mahal, amal makan kimchi bantu jaga kesihatan Miss V
3. Bawang
Bawang putih, bawang merah dan bawang besar boleh menyebabkan nafas berbau.
Sebatian sulfur dalam bawang boleh menghasilkan bau yang kurang menyenangkan dan kesannya boleh bertahan selepas makanan dicerna.
4. Karbohidrat ringkas
Roti putih, pasta dan kentang boleh memberikan tenaga dengan cepat.
Makanan tinggi karbohidrat ringkas juga boleh menyebabkan tenaga menurun selepas lonjakan awal, dan kemudiannya membuatkan tubuh terasa lesu.
5. Makanan bergoreng
Ayam goreng, kentang goreng dan makanan berminyak boleh membuatkan perut terasa penuh dan kembung.
Bagi segelintir individu, makanan sebegini juga boleh menyebabkan cirit-birit jika diambil terlalu banyak.

6. Daging merah berlemak
Daging merah yang tinggi lemak mengambil masa lebih lama untuk dicerna.
Pengambilan berlebihan boleh membuatkan tubuh terasa berat dan menyebabkan ketidakselesaan pada sistem pencernaan.
7. Produk tenusu
Susu, keju dan produk tenusu boleh menyebabkan masalah pencernaan bagi sesetengah individu.
Ia mungkin mencetuskan kembung atau pedih ulu hati, terutama bagi mereka yang mempunyai sistem pencernaan sensitif.
Produk tenusu yang tinggi lemak juga mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan boleh menyebabkan rasa tak selesa atau lesu.