"Kenapa takut sangat letak MSG?" - Pengguna tegar garam biasa dalam masakan perlu tahu fakta ini
RAMAI masih berhati-hati menggunakan monosodium glutamate (MSG) dalam masakan kerana menganggap bahan itu tidak baik untuk kesihatan.
Malah, ada yang memilih untuk mengelakkan MSG sepenuhnya dalam masakan dan menganggap penggunaan garam biasa lebih selamat sebagai perasa makanan.
Seorang pelajar sains makanan, Aliah Hafizzah tampil memberi pandangan mengenai penggunaan MSG dalam masakan menerusi perkongsian di media sosial.
Menurutnya, MSG mempunyai kandungan sodium lebih rendah berbanding garam biasa mengikut berat, selain memberikan rasa umami kuat pada makanan.

“Nak tanya apa awak semua takut sangat letak MSG dalam masakan? MSG atau lebih dikenali sebagai Ajinomoto asal dari Jepun,” soalnya.
Jelasnya, penggunaan MSG dalam jumlah kecil berpotensi mengurangkan keperluan menambah garam dalam sesetengah masakan.
Menurutnya, 1 gram (g) MSG mengandungi kira-kira 123 milligram (mg) sodium, manakala 1g garam biasa mengandungi kira-kira 393mg sodium.
MENARIK DIBACA: Ada logo halal, wanita masih risau nak makan ayam 'frozen' dari China... Suami suruh jamu kucing
MENARIK DIBACA: Tip arwah nenek! Nak beli kuali berkualiti cuma perlu periksa satu label, tahan 3 generasi
Perbandingan itu menunjukkan MSG bukan bahan bebas sodium, tetapi kandungan sodium per gramnya lebih rendah berbanding garam biasa.
Kongsinya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan orang dewasa mengambil kurang dari 2,000mg sodium sehari, bersamaan kurang dari 5g.
Had ini merangkumi sodium daripada semua sumber makanan, bukan garam yang ditambah ketika memasak sahaja.
“Kalau garam tinggi sodium, nak masakan sedap kena letak banyak pula,” tulisnya lanjut.

Penerangan itu mendapat perhatian netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan penggunaan MSG dalam masakan.
“Saya menggunakan Ajinomoto untuk kurangkan pengambilan garam kerana saya percaya pada sains.
“Saya dan suami kalau terlebih ambil MSG, lepas makan akan mengantuk, sakit kepala, sakit badan dan dahaga.
“Tak guna (MSG) sebab tekak nak benda lebih semula jadi. Bukan setakat MSG, segala kicap dan sos tinggi gula saya tak beli.
“Saya guna sebab tahu kebenarannya. Ada masakan guna, ada masakan tak guna.
“Saya buat MSG sendiri guna tomato,” antara komen netizen.
Penggunaan MSG bukan bermaksud seseorang boleh mengambilnya tanpa had.
MSG juga menyumbang kepada jumlah sodium harian dan pengambilan keseluruhan masih perlu diberi perhatian, termasuk sodium daripada kicap, sos, makanan diproses dan makanan segera.