Minum kopi berkafein atau tak, kedua-duanya beri kesan pada otak - Kajian
RAMAI yang minum kopi untuk hilangkan mengantuk dan kekal bertenaga kerana adanya kafein, tetapi kesannya lebih daripada itu.
Satu kajian mendapati kopi berpotensi mempengaruhi emosi dan fungsi otak menerusi hubungan antara usus dengan otak, malah beberapa kesan itu turut dilihat dalam pengambilan kopi tanpa kafein.
Kajian dijalankan penyelidik dari University College Cork, Ireland mendapati pengambilan kopi mempengaruhi paksi usus-otak, iaitu sistem komunikasi dua hala menghubungkan mikroorganisma dalam usus dengan otak.

Menurut laporan media, sepanjang kajian dikendalikan peserta diberikan dua jenis kopi berbeza iaitu kopi berkafein dan tidak berkafein.
Kajian itu bagaimanapun menunjukkan kesan kedua-dua jenis kopi terhadap pengaruh otak serta emosi dan kopi dikaitkan dengan penurunan tekanan, kemurungan dan tingkah laku impulsif.
Bagaimanapun, kopi berkafein dan kopi tanpa kafein turut menunjukkan beberapa perbezaan.
Kopi berkafein dikaitkan dengan pengurangan keresahan dan tekanan psikologi, selain peningkatan dari segi perhatian serta kewaspadaan.
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi minum air sarsi bantu legakan demam, ramai mengaku dah berzaman amal petua sama
MENARIK DIBACA: Ketahui fakta menarik kelapa, dari mana datangnya air dalam buah?
Kopi tanpa kafein pula dikaitkan dengan pembelajaran dan ingatan lebih baik, tidur lebih berkualiti serta peningkatan aktiviti fizikal.
Dapatan ini memberi petunjuk bahawa sesetengah kesan kopi terhadap tubuh mungkin tidak berpunca daripada kafein sahaja.

Penyelidik mendapati pengambilan kopi turut menyebabkan perubahan pantas terhadap komposisi dan aktiviti mikrobiom usus.
Beberapa perubahan berkaitan fungsi kognitif pula dikaitkan dengan metabolit yang terhasil daripada polifenol kopi.
Polifenol adalah sebatian tumbuhan boleh diubah oleh bakteria usus kepada molekul mempunyai aktiviti biologi.
Walaupun hasil kajian ini menarik, ia masih mempunyai beberapa batasan.
Justeru, hasil kajian ini menunjukkan kopi mungkin mempunyai kesan yang lebih kompleks terhadap hubungan antara usus dan otak berbanding sekadar membekalkan kafein.