Malas fikir, rela makan menu sama tiap hari... Apa berlaku pada tubuh manusia?
MENIKMATI menu yang sama setiap hari sememangnya satu pilihan mudah, tak perlu pening kepala fikir apa yang mahu dimakan.
Tabiat ini dipanggil 'food monotony' yang mana ia memudahkan rutin harian khususnya bagi mereka yang sibuk bekerja atau mempunyai jadual padat.
Makan menu sama boleh mengurangkan 'decision fatigue' kerana tidak perlu memikirkan menu, membeli bahan atau menyediakan hidangan berbeza setiap hari.

Bagaimanapun, menu yang diambil secara berulang setiap hari perlu kekal seimbang kerana pilihan makanan ultra-proses, lemak, garam atau gula boleh menyebabkan kekurangan nutrien.
MENARIK DIBACA: Kelapa tampuk merah dipercayai banyak kelebihan, baik untuk pesakit kanser jalani kemoterapi
MENARIK DIBACA: Ketahui fakta menarik kelapa, dari mana datangnya air dalam buah?
Menurut Profesor Emerita Bidang Pemakanan, Kajian Makanan dan Kesihatan Awam di New York University, Marion Nestle, makan hidangan yang sama berulang kali tidak menjadi masalah selagi ia seimbang dan sihat.
Sebagai contoh, sarapan seperti yogurt atau oat bersama buah-buahan segar lebih sihat berbanding bakon, telur dan 'hash brown'.
Jika selesa dengan menu yang sama, buat perubahan kecil secara berperingkat.
Contohnya, jika biasanya menikmati yogurt dengan beri biru, tukarkannya dengan strawberi atau pisang pada hari berikutnya.
Dia menyarankan agar menambah oat, kekacang atau bijirin untuk memberikan tekstur dan nutrien berbeza.
Konsep yang sama ini boleh digunakan untuk hidangan lain.
Kepelbagaian makanan penting untuk memastikan tubuh mendapat pelbagai nutrien yang diperlukan.
Makan sihat tak semestinya rumit.
Kadang-kadang, hanya dengan menukar buah, lauk atau bahan sampingan pun sudah cukup untuk menjadikan hidangan harian lebih pelbagai.
Ia sekali gus dapat mengelakkan manusia daripada masalah muak dengan menu sama setiap hari.