Petani di luar negara gantung beg plastik lutsinar, cara bajet elak lalat hurung buah
JIKA pernah berjalan di sekitar pasar terbuka atau gerai buah di luar negara khususnya di Sepanyol, anda mungkin pernah ternampak pemandangan agak pelik iaitu beg plastik lutsinar berisi air digantung di atas susunan buah-buahan.
Sekilas pandang, memang nampak seperti sampah atau hiasan random yang tidak kena pada tempat.
Rupa-rupanya, ada rahsia di sebalik kaedah sederhana ini yang digunakan oleh peniaga sejak sekian lama.
Kaedah itu sebenarnya satu trik menghalau lalat menggunakan pantulan cahaya matahari.
Menurut amalan tradisional di sesetengah pasar, beg plastik berisi air ini sebenarnya berfungsi untuk menghalau lalat daripada menghurung buah-buahan segar.

Apabila cahaya matahari terkena beg berisi air tersebut, ia akan menghasilkan pantulan dan biasan cahaya yang bergerak.
Perubahan kilauan ini dipercayai mengganggu lalat, membuatkan serangga itu kurang selesa untuk menghampiri kawasan jualan.
Walaupun ia kedengaran seperti mitos atau sekadar kepercayaan lama, ramai peniaga masih menggunakannya kerana ia tidak melibatkan kos tinggi dan mudah dilakukan.
Malah ia lebih jimat, mesra alam dan tiada bahan kimia.
Kaedah ini sememangnya popular di negara luar kerana sifatnya yang sangat praktikal dan tidak memerlukan elektrik, tiada semburan racun serangga dan tidak meninggalkan sebarang sisa kimia pada buah-buahan.
MENARIK DIBACA: Coklat 'lenyap' dari rak, pasar raya di Perancis henti jualan gara-gara cuaca panas ekstrem
MENARIK DIBACA: Rahsia orang Jepun kurus walau makan nasi 3 kali sehari, kadar obesiti antara terendah di dunia
Cukup hanya dengan beberapa beg plastik kitar semula, air dan cahaya matahari ia diibaratkan siap terpasang alat penghalau lalat versi bajet.
Bagi peniaga kecil, ini adalah solusi mudah untuk memastikan buah kekal bersih dan menarik perhatian pelanggan sepanjang hari terutamanya ketika cuaca panas.
Selain membantu peniaga, pelanggan juga mendapat manfaat apabila mereka boleh memilih buah dengan lebih selesa tanpa gangguan lalat yang sering menghurung makanan terbuka di kawasan pasar.
Menariknya, teknik ini menunjukkan bagaimana kreativiti manusia boleh menghasilkan penyelesaian mudah daripada bahan harian.
Tanpa mesin canggih atau teknologi moden dengan hanya dengan memanfaatkan cahaya matahari dan air, satu masalah kecil di pasar boleh dikurangkan dengan cara yang cukup praktikal.