Rebus kerang tak perlu letak air nak elak kecut, memang terasa kemanisan isi
MEREBUS kerang nampak mudah, tetapi kalau tekniknya silap isi mudah jadi kering, kecut dan hilang rasa manis.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai Farzana Sajidah berkongsi cara yang diajar oleh ibunya untuk merebus kerang tanpa menggunakan air.
Menurutnya, selepas dicuci bersih, kerang boleh terus dimasukkan ke dalam kuali sebelum api dihidupkan.
“Selepas kerang dicuci bersih, terus masuk dalam kuali. Hidupkan api dan kacau saja.

“Balik-balikkan, nanti air kerang akan keluar. Cuba buka satu. Kalau boleh buka maksudnya sudah boleh tutup api,” kongsinya.
Menerusi ruangan komen, dia memberitahu kaedah tersebut bagaimanapun tak sesuai digunakan untuk kepah.
"Untuk kepah, dia (ibu) biasanya akan memasukkan sedikit air bersama bahan seperti cili padi dan serai sebab biasanya dijadikan lauk untuk makan dengan nasi. Isinya pun lebih halus," tulisnya.
Perkongsiannya mendapat perhatian warganet yang mengakui mereka turut menggunakan teknik sama apabila merebus kerang.
MENARIK DIBACA: Kelapa tampuk merah dipercayai banyak kelebihan, baik untuk pesakit kanser jalani kemoterapi
MENARIK DIBACA: Ketahui fakta menarik kelapa, dari mana datangnya air dalam buah?
"Sebagai isteri nelayan, saya setuju. Tapi kalau risau air kering boleh letak air sikit dan garam. Rebus sehingga kerang terbuka. Sedap sangat berjus.

"Sama macam ibu saya masak. Sejak zaman sekolah sudah berniaga, ini cara ibu rebus. Letak serai dan bawang putih. Isi kerang jadi kenyal dan manis tak kering.
"Ya, saya dari kecil lagi ibu bapa ajar cara rebus sama. Jadi, saya lebih suka masak sendiri kerang dan tak ramai tahu teknik ini. Buka api, tutup periuk, biar dalam 5 minit lalu tutup api.
"Saya pun rebus cara sama, ketuk serai, letak daun kunyit sikit dan sangat harum," antara komen netizen
Bagi yang belum pernah mencuba, bolehlah cuba kaedah tanpa air ini untuk melihat perbezaannya.