Macam lepak dekat kopitiam, AirAsia hidang menu baharu sempena bulan Kemerdekaan
BERSEMPENA sambutan bulan kemerdekaan pada Ogos ini, Santan memperkenalkan dua menu terbaharu yang bakal dihidangkan dalam penerbangan AirAsia.
Dua menu berkenaan iaitu Kaya Butter Coconut Toast dan Zero Teh Tarik Kaw Kaw adalah sebahagian usaha mengangkat warisan kulinari tempatan ke persada dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh berkata, kedua-dua hidangan tersebut turut mencerminkan nostalgia rakyat Malaysia dengan suasana kopitiam.
"Saya percaya kami adalah syarikat penerbangan pertama yang hidangkan roti bakar di udara setakat ini.
"Seperti yang kita tahu hidangan roti bakar dan teh tarik bukan sahaja dekat dengan hati rakyat Malaysia malah ia melambangkan keunikan budaya kita.
"Santan berusaha menyajikan menu yang bukan sahaja memikat selera semua penumpang, tetapi memperkenalkan keindahan makanan Malaysia kepada dunia," katanya.
Catherine berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran menu baharu Santan yang berlangsung di KLIA Terminal 2, Sepang, Selangor pada Isnin.
Selain roti bakar dan teh tarik sifar kalori, Santan turut memperkenalkan dua lagi minuman baharu berasaskan asam boi – ramuan tradisional yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Diperkenalkan dalam dua variasi iaitu Zero Calorie Asam Boi dan Zero Asam Jasmine Tea, kedua-dua minuman ini menawarkan rasa unik, menyegarkan dan sangat sesuai dinikmati ketika dalam penerbangan.
Menu ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Club Zero, satu rangkaian makanan dan minuman rendah gula yang dirumus menggunakan pemanis sifar kalori tanpa aspartame.
Untuk video penuh tonton di YouTube Kuali.