Enam buah disebut dalam al-Quran, terbukti baik untuk tubuh dan jiwa
BUAH-BUAHAN dicipta bukan sekadar sumber nutrisi tetapi juga menjadi tanda kebesaran dan rahmat Allah SWT kepada manusia.
Dalam al-Quran ada menyebut beberapa jenis buah yang bukan sahaja lazat, malah penuh manfaat kesihatan.
Menariknya, sebahagian daripada buah ini turut termasuk dalam makanan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Berikut enam jenis buah disebut dalam al-Quran yang terbukti memberi manfaat untuk tubuh badan manusia.

1. Buah zaitun
Zaitun antara buah paling kerap disebut dalam al-Quran bahkan, ia digunakan sejak ribuan tahun dalam masakan dan perubatan tradisional.
Kandungan lemak tak tepu tunggal (asid oleik) dalam zaitun membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Ia juga kaya dengan antioksidan yang melindungi sel daripada kerosakan radikal bebas.
Selain itu, vitamin E dan zat besi yang terkandung dalamnya baik untuk kesihatan kulit dan membantu mencegah anemia.
“Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan,” (Surah An-Nahl: 11).

2. Anggur
Buah anggur merupakan antara buah tertua dunia kerana sudah ditanam sejak ribuan tahun lalu.
Di sebalik rasa manis, ia mengandungi zat besi dan antioksidan yang membantu meningkatkan penghasilan darah serta mencegah keletihan.
Ia juga dikatakan dapat melegakan migrain dan sakit kepala secara semula jadi.
“Atau kamu mempunyai kebun kurma dan anggur, kemudian kamu salurkan ke dalam celah-celah sungai yang deras,” (Surah Al-Isra’: 91).

3. Delima
Buah delima disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan sering dikaitkan dengan gambaran syurga.
Dalam Surah Al-An’am ayat 99, Allah SWT berfirman:
“Dan daripada pohon kurma, anggur dan delima, yang serupa rupanya tetapi berlainan rasanya. Lihatlah kepada buahnya ketika berbuah dan ketika masak...”
Delima kaya antioksidan seperti flavonoid dan polifenol yang membantu melawan radikal bebas serta mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser.
Kulit dan daun delima digunakan untuk merawat masalah pencernaan manakala jusnya pula mempunyai sifat antibakteria baik untuk kesihatan mulut.

4. Kurma
Buah kurma dikenali sebagai buah dari syurga dan mengamalkannya adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah.
Bukan itu sahaja, ia disebut beberapa kali dalam al-Quran, termasuklah dalam kisah Maryam a.s. ketika melahirkan Nabi Isa a.s.:
“Dan goncangkanlah ke arahmu batang pohon kurma itu, nescaya ia akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu,” (Surah Maryam: 25).
Kurma kaya dengan gula semula jadi, serat, kalium dan magnesium, menjadikannya sumber tenaga segera untuk badan.

5. Tin (buah ara)
Allah bersumpah dengan ciptaan Nya iaitu buah Tin pada ayat pertama Surah At- Tin.
“Demi buah Tin dan buah Zaitun,” (Surah At-Tin: 1).
Buah tin terkenal dengan serat tinggi, membantu sistem pencernaan serta mencegah sembelit.
Ia juga mengandungi kalsium dan fosforus yang menyokong kesihatan tulang, serta antioksidan yang menguatkan sistem imun.

6. Pisang
Dalam Surah Al-Waqi’ah ayat 29, Allah SWT menggambarkan kenikmatan syurga dengan pohon pisang yang berderet:
“Dan (di dalam syurga itu) di bawah pohon-pohon pisang yang bersusun-susun buahnya.”
Buah pisang mengandungi kalium, vitamin B6, dan serat, menjadikannya baik untuk kesihatan jantung dan sistem saraf.
Ia juga membantu menstabilkan tenaga dan menenangkan emosi, sesuai dimakan pada bila-bila masa.