Daun kesum boleh hilangkan kelemumur, bantu cegah penuaan
DAUN kesum atau nama saintifiknya polygonum minus merupakan sejenis tumbuhan herba cukup dikenali kerana aromanya yang wangi.
Tumbuhan yang hidup di iklim tropika terutama di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam sering dijadikan ulam atau bahan dalam masakan seperti asam pedas dan laksa.
Selain dikenali dengan rasa masam berlemak dan beraroma wangi, daun kesum juga kaya dengan pelbagai khasiat dan manfaat untuk kesihatan tubuh.

Kajian dijalankan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati, kesum mentah atau yang telah dimasak telah digunakan dalam rawatan gangguan pencernaan, manakala rebusan dan minyak daun ini boleh mengatasi masalah kelemumur.
Bahkan daun kesum juga mempunyai beberapa ciri baik seperti kandungan antioksidan yang tinggi, antimikrob, anti-keradangan, anti-kedutan dan meningkatkan daya ingatan yang dibuktikan secara saintifik oleh para penyelidik di Malaysia.
Antara kelebihan lain daun kesum adalah seperti berikut;

1. Melancarkan pencernaan
Daun kesum dapat melancarkan sistem penghadaman selain membantu mengatasi masalah kembung perut dan mencernakan makanan tidak hadam.

2. Melawan radikal bebas
Kandungan antioksidan pada daun kesum berupaya melawan radikal bebas sekali gus mengurangkan risiko penyakit kronik seperti serangan jantung.

3. Meningkatkan sistem imunisasi
Daun kesum kaya dengan kandungan vitamin A dan C yang membantu menguatkan sistem imunisasi tubuh dan membantu badan melawan jangkitan.
Namun pengambilan daun kesum perlu diamalkan secara sederhana.

4. Melancarkan kitaran haid
Khasiat daun kesum juga membantu mengembalikan tenaga wanita selepas bersalin dan membantu mengecutkan rahim, mengurangkan keputihan dan melancarkan haid.

5. Mencegah penuaan
Kandungan antioksidan pada daun kesum juga membantu mencegah penuaan kulit selain membantu mengatasi masalah kulit seperti panau.

6. Menguatkan tulang
daun kesum dikatakan baik untuk tulang kerana kaya dengan mineral penting seperti kalsium dan fosforus untuk membina tulang yang kuat dan sihat.

7. Meningkatkan stamina
Dalam perubatan Melayu tradisional, daun kesum dikatakan dapat membantu meningkatkan tenaga dan mengatasi masalah keletihan.

8. Menghilangkan kelemumur
Selain melazatkan masakan, daun kesum juga mampu mengatasi masalah kelemumur pada kulit kepala.
Caranya tumbuk beberapa helain daun kesum kemudian lumur pada kulit kepala. Biarkan seketika dan bilas sehingga bersih.