Bukan main bau dan agak-agak saja! Nak isi cantik ‘check’ 8 perkara ini sebelum beli durian
MASUK sahaja pertengahan tahun, perkara yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia sudah tentunya musim durian.
Suasana tepi jalan kembali meriah dengan deretan gerai menjual durian, malah dari jauh lagi sudah boleh dihidu ‘keharuman’ raja buah itu.
Namun, nak beli durian bukan boleh main bau dan agak-agak saja! Kalau tak berhati-hati, takut terbeli durian yang tawar, keras, atau busuk.
Menurut seorang pengguna Facebook dikenali sebagai SZ Abdullah, berikut lapan tip penting untuk memilih durian yang elok, berisi tebal dan berbaloi dengan harga.

1. Pilih durian berbentuk bulat
Durian berbentuk bulat biasanya mengandungi lebih banyak isi berbanding yang lonjong atau bujur. Ini kerana ruang dalamnya lebih seimbang.

2. Cari yang lebih ringan
Jika dua durian bersaiz hampir sama, pilih yang lebih ringan. Durian yang berat selalunya mempunyai biji besar dan isi yang nipis.

3. Periksa tangkai durian
Tangkai yang pendek dan tebal menandakan isi yang tebal dan segar. Elakkan durian dengan tangkai yang kering, kecut atau terlalu panjang kerana ia petanda durian sudah lama gugur.

4. Pilih durian belah 5
Durian yang mempunyai 5 belahan (ruas) biasanya padat dengan isi. Elakkan yang berbelah banyak kerana saiz isinya lebih kecil.

5. Berbunyi bila digoncang
Jika durian berbunyi bila digoncang, itu tanda isinya sudah masak dan kering dari biji. Tapi kalau tak berbunyi langsung, mungkin isinya lembik dan melekat.

6. Hidu bau durian
Durian yang sudah masak akan mengeluarkan bau harum manis dengan sedikit pahit. Jika baunya tengik atau terlalu menyengat, mungkin ia sudah terlebih masak.

7. Perhatikan duri
Duri yang besar, pendek dan jarang menunjukkan isi dalam yang lebih baik. Elakkan durian berduri halus, panjang dan rapat kerana isi selalunya tak cantik.

8. Elak beli ketika musim hujan
Musim hujan sering menyebabkan durian gugur awal sebelum cukup masak. Hasilnya, isi mungkin belum sempurna dari segi rasa dan tekstur.