Simpan stok bahan kisar dengan betul, boleh tahan 3 bulan..Jimat masa mak-mak didapur
MENYIMPAN stok bahan kisar memang jadi penyelamat buat mak-mak apatah lagi buat mereka yang tidak mempunyai masa disebabkan sibuk bekerja.
Bayangkan semua bahan asas makanan seperti bawang, cili, halia dan serai siap dikisar dan tersimpan elok dalam bekas kedap udara yang mampu bertahan selama tiga bulan dalam peti ais.
Setiap kali hendak masak untuk keluarga, cuma perlu cedok, tumis dan siap! Cubalah sendiri tip menyimpan bahan kisar ini, pasti tak menyesal.

1. Guna bekas kedap udara
Susun elok semua bahan kisar dalam peti ais. Guna bekas kedap udara atau balang kaca agar aroma tahan lama.
Lebih baik label setiap bekas mengikut jenis bahan dikisar agar tidak tersilap capai ketika hendak memasak.

2. Pilih bekas kecil
Jika ingin menjimatkan ruang, boleh gunakan bekas kecil antara 100 ml hingga 150 ml. Sukatan saiz ini cukup untuk tiga bulan jika memasak untuk keluarga kecil.
Untuk memastikan bahan tahan lebih lama, boleh juga bekukan dan keluarga satu bahagian kecil setiap minggu dan asingkan.
MENARIK DIBACA: Campuran kunyit dan susu rahsia tanggalkan bulu tanpa cukur, pakej putihkan ketiak hitam
MENARIK DIBACA: Bimbang lapar ketika hiking, ini 5 makanan mudah disediakan tapi mengenyangkan

3. Bawang putih rahsia tumisan bertambah enak
Ini antara bahan perisa asas dalam kebanyakan masakan termasuk ayam goreng kunyit, sambal tumis dan rendang serta sup.
Caranya, kisar bawang putih sudah dikupas kulitnya dengan air sedikit sahaja. Pastikan tiada lebihan bila disimpan agar bahan ini tahan lama.

4. Bawang besar penambah rasa manis masakan
Bawang besar memang bahan asas utama dalam hampir semua lauk.
Kisar bawang bersama minyak masak separuh dari jumlah bawang supaya teksturnya lembut dan tahan lama.
Cuba tabur sedikit garam sebelum simpan. Kaedah ini dapat elak bahan kisar cepat rosak.

5. Lada kering nadi kepada sambal memikat
Cara untuk membuat pes lada kering mudah sahaja, mulakan dengan menggunting lada kering dan rebus hingga lembut.
Kisar lada kering dengan sedikit air dan campurkan beberapa asam keping ketika menyimpan.
Jika disimpan dengan betul, pes ini boleh tahan sehingga tiga bulan dan menjimatkan masa tak perlu lagi rendam lada kering setiap kali nak masak.

6. Halia kisar menghilangkan hanyir lauk
Halia ibarat bahan magik kerana penggunaannya mampu menghilangkan hanyir ayam, daging dan ikan segar.
Kisar halia dengan sedikit air kerana bahan masakan ini mengandungi banyak jus semula jadi.
Lebih senang, asingkan dalam bekas kecil lalu dibekukan, jadi tak perlu cairkan satu balang besar setiap kali guna.
Pes halia ini juga boleh dicampur sedikit minyak masak sebelum simpan untuk elak permukaan kering.
Setiap kali menumis, ambil satu sudu kecil dan terus masuk kuali. Senang dan cepat!