Bukan sekadar rebus dengan air garam, ada cara kurangkan rasa pahit lemon
LEMON sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan dan minuman kerana rasa masamnya yang menyegarkan.
Namun, kadangkala lemon boleh meninggalkan rasa pahit lebih lagi jika bahagian putih di bawah kulit atau biji digunakan dalam bancuhan air atau masakan.
Bahagian putih antara kulit dan isi lemon sebenarnya mengandungi bahan dikenali sebagai limonin dan naringin yang menyebabkan rasa pahit.

Selain membuang bahagian putih di bawah kulit atau biji, sebenarnya ada petua mudah menghilangkan pahit lemon.
Caranya adalah dengan merendam lemon di dalam air garam atau merebus kulitnya beberapa kali dalam air bersih.
Campuran garam membantu membersihkan kotoran dan bakteria pada kulit lemon.
Berikut adalah beberapa petua senang untuk dicuba bagi mendapatkan jus lemon atau kek lemon menyegarkan tanpa ada rasa pahit!

1.Masukkan lemon di akhir proses memasak
Rasa pahit boleh timbul apabila lemon dimasak terlalu lama.
Jadi, bagi mengelak masalah ini boleh cuba gunakan perahan jus lemon selepas masakan siap dimasak supaya rasanya kekal segar.
Herba seperti daun pudina, basil atau thyme boleh samarkan rasa pahit kerana aroma kuat membuka selera.
Bahan-bahan ini sesuai untuk minuman lemon sejuk atau teh herba berasaskan lemon.

2. Rebus kulit lemon
Bagi resipi menggunakan parutan kulit lemon, cuba hilangkan pahit kulit dengan kaedah sama iaitu membuang bahagian putih pada kulitnya lalu direbus selama lima minit.
MENARIK DIBACA: Rendam dalam air limau nipis cara mudah kupas kulit udang, jari pun tak sakit!
MENARIK DIBACA: Selain pisang dan nanas, buah-buahan ini lagi sedap kalau dipanggang
Ulangi proses merebus ini sebanyak tiga kali menggunakan air bersih untuk mengurangkan rasa pahit.
Kek hasilkan bukan sahaja harum dengan aroma lemon parut tetapi menyegarkan tekak lebih lagi dijamu pada petang hari bersama secawan teh hangat.

3.Hidang ketika sajian atau minuman masih hangat
Ketika suhu makanan atau minuman masih panas atau suam, aroma bahan-bahan seperti herba, rempah dan buah sitrus seperti lemon mudah tersebar.
Suhu panas juga membantu asid daripada lemon bersatu dengan bahan lain seperti madu, gula atau rempah menghasilkan rasa seimbang tidak terlalu masam atau pahit.

4. Seimbangkan dengan bahan manis
Tambah sedikit madu, gula atau sirap bagi menutup dan mengimbangi rasa pahit lemon.
Dalam minuman seperti teh lemon campuran sedikit madu juga memperkayakan aroma dan mengurangkan pahit lemon.

5.Tambahkan lemak semula jadi
Lemak seperti mentega, minyak zaitun atau santan boleh melapisi lidah dan menutup rasa pahit.
Jika penggunaan lemon dalam sos untuk ikan atau ayam terasa pahir, tambah sedikit mentega di akhir masakan.
Elak penggunaan lemon terlalu tua atau disimpan lama kerana ia mengandungi lebih banyak sebatian pahit.
Pilih lemon dengan warna kuning cerah dan kulit licin.