Niat nak beli sikit, sudahnya habis RM50! Ini 5 tip tak terlebih belanja di bazar Ramadan
MUSIM Ramadan memang buat ramai rambang mata bila tengok banyak makanan dan minuman menyelerakan dijual di bazar.
Ada yang anggap bulan puasa adalah waktu sesuai untuk berjimat kerana hanya makan ketika berbuka dan sahur, namun realitinya perbelanjaan boleh melebihi hari biasa.
Setiap kali singgah ke bazar, sekurang-kurangnya RM50 akan habis tanpa sedar. Kalau hari-hari berbelanja begitu, alamatnya raya nanti kena ikat perut makan apa yang ada sahaja.
Mana tidaknya, perut yang lapar ditambah pula dengan nafsu melihat pelbagai hidangan menyelerakan membuatkan ramai mudah membeli tanpa berfikir panjang sehingga akhirnya berlaku pembaziran.
Jadi bagaimana cara untuk mengawal perbelanjaan supaya tidak terlebih beli setiap kali ke bazar Ramadan?

1. Buat senarai sebelum keluar rumah
Sebelum ke bazar, tetapkan dahulu juadah yang nak dibeli supaya tidak rambang mata apabila sampai di sana.
Kebiasaannya kita sudah ada bayangan dalam kepala, tetapi apabila nampak banyak pilihan, kita terdorong berbelanja luar kawalan.
Jika terlihat makanan lain yang menarik, simpan sahaja hasrat itu dan beli pada hari lain.

2. Bawa duit ikut bajet
Selepas tetapkan apa yang ingin dibeli, bawa wang secukupnya mengikut anggaran harga.
Cara ini membantu mengelakkan perbelanjaan berlebihan kerana jumlah wang yang dibawa sudah ditetapkan lebih awal.
Sebagai contoh, jika bercadang membeli nasi, kuih dan minuman dengan anggaran RM15 hingga RM20, bawa sahaja jumlah tersebut supaya tidak mudah menambah sajian lain.

3. Elak pergi beramai-ramai
Kadang-kadang pengaruh kawan juga boleh menyebabkan kita terlebih belanja tanpa sedar.
Walaupun sudah selesai membeli mengikut senarai, kita mungkin terpengaruh apabila melihat rakan membeli makanan lain yang nampak sedap.
Akhirnya, kita pun terbeli makanan yang sebenarnya tidak diperlukan. Sebaiknya pergi seorang diri.

4. Jangan terlalu lama di bazar
Lebih lama berada di bazar, lebih banyak godaan akan muncul.
Sebaiknya, selesai sahaja membeli makanan yang dirancang, terus pulang ke rumah.
Elakkan berjalan atau berpusing terlalu lama kerana ia hanya meningkatkan risiko membeli juadah tambahan.

5. Rekod perbelanjaan harian
Biasakan diri mencatat jumlah wang yang dibelanjakan setiap kali ke bazar Ramadan.
Dengan cara ini, anda boleh melihat sama ada perbelanjaan masih mengikut bajet atau sudah melebihi had yang ditetapkan.
Jika didapati terlebih belanja, anda boleh mula mengawal perbelanjaan pada hari-hari berikutnya supaya lebih berjimat.