Cuti sekolah ajaklah anak ke dapur, resipi nuget dan puding roti paling senang
SELAIN aktiviti biasa dilakukan bersama anak-anak, kaum ibu boleh cuba mengajak kesayangan masuk ke dapur untuk belajar memasak.
Sempena cuti sekolah kali ini, dari kebosanan tak tahu nak buat apa ibu-ibu boleh rancang aneka resipi mesra kanak-kanak, senang dan cepat!
Pada masa sama dapat mendidik anak stigma hanya ibu atau wanita layak didapur dan pandai masak.

Lama-kelamaan, anak-anak pun boleh tolong ibu sediakan hidangan di rumah.
Jom tengok empat resipi mesra kanak-kanak untuk dicuba bersama ibu dan si manja.
Tapi ibu-ibu perlu ingat, jika perlu menggunakan peralatan tajam seperti pisau dan gunting, pastikan anak dipantau bagi mengelak sebarang kecederaan.

1. Puding Roti
Mudah, sedap dan sesuai untuk seisi keluarga terutama si kecil.
Puding roti adalah pilihan tepat dan resipi klasik ini mudah menggunakan bahan asas sering ada di dapur.
Teksturnya pemanis mulut ini lembut dengan kemanisan yang sederhana menjadikannya kegemaran kanak-kanak.
Bahan-bahan
- 2 keping roti wholemeal
- 1 biji telur
- ½ cawan susu
- puri kurma
- kismis
Cara penyediaan
- Mula-mula potong roti wholemeal dan susun dalam bekas.
- Campurkan telur, susu, puri kurma dan gaul sebati dan tuangkan ke dalam bekas roti.
- Susun kismis di atas puding roti dan kukus selama 20 minit.Tunggu sejuk dan hidangkan.

2. Pasta Labu Berkrim
Resipi pasta labu berkrim ini adalah pilihan bijak jika ibu-ibu mahu memperkenalkan sayur kepada anak.
Dengan tekstur lembut dan rasa manis semula jadi dari labu, pasta sos berkrim ini lazat juga berkhasiat.
Digabungkan dengan pasta warna warni khusus buat anak-anak, hidangan ini bakal mendapat tempat di hati si manja!
Bahan-bahan
- Pasta
- Labu (tumbuk)
- Lobak merah ( tumbuk )
- Mentega
- Bawang putih
- Serbuk bawang
- Daun sup
- Susu krim penuh
- Cream Cheese
Cara penyediaan
- Rebuskan pasta, toskan dan letak tepi dahulu.
- Ratakan mentega di kuali, kemudian masukkan daun kari dan bawang putih atau serbuk bawang sehingga naik bau.
- Hancurkan labu dan lobak merah (boleh lebihkan labu, kemudian letakkan sedikit Italian Herb dan serbuk bawang.
- Curahkan susu dan kacau sehingga sebati, jika susu terlalu pekat boleh tambah air.
- Gaul sos labu bersama pasta tadi dan tabur sedikit daun sup.

3. Nuget ayam
Resipi nugget ayam homemade sedap, malah sesuai dijadikan aktiviti memasak bersama anak-anak!
Anak-anak pasti seronok membantu membentuk nuget, celup dalam serbuk roti dan melihat hasil air tangan sendiri dimasak.
Lebih penting, bahan-bahan digunakan terkawal malah tiada pengawet cuma ayam segar, sayur pilihan dan sedikit kasih sayang.
Bahan-bahan
- 700g isi dada ayam (potong kecil)
- 2 biji telur
- 5 ulas bawang putih
- 2 biji bawang merah saiz sederhana
- Serbuk lada hitam secukupnya
- 3 sudu makan tepung ubi kayu
- Garam
- Perasa ( jika suka) secukupnya
- Tepung goreng serbaguna secukupnya
- Sedikit mentega
Cara penyediaan
- Kisar semua bahan hingga halus. Boleh guna pengisar makanan jika ada. Jika tiada, boleh guna pengisar biasa.
- Ambil loyang bersesuaian dan sapukan sedikit mentega.
- Tuang adunan ke dalam loyang dan kukus selama30 minit.
- Setelah masak, keluarkan kek nugget tadi dari loyang.
- Potong kek nugget mengikut saiz yang digemari.
- Bancuh tepung serbaguna dengan air. Jangan pekat sangat dan jangan cair sangat supaya nugget boleh disalut dengan sekata.
- Celupkan nugget dalam tepung serbaguna dan goreng hingga garing.

4. Bayam keju leleh
Gabungan keju leleh dan bayam berkhasiat dalam satu hidangan memang sesuai untuk anak-anak.
Teksturnya yang lembut dan rasa yang creamy membuatkan ia mudah diterima si kecil, terutama bagi anak kurang gemar makan sayur.
Boleh juga tambah isi ayam sebagai protein.
Bahan-bahan
- 250g keju Mozarella parut
- 250g krim keju
- 1 cawan daun bayam racik (daun sahaja)
- 1 sudu makan mentega
- 1 ulas bawang putih (cincang)
- 1 sudu teh lada hitam (tumbuk halus)
- 1 sudu teh garam halus
Bahan salutan
- 1/2 cawan tepung gandum
- 2 biji telur (dipukul)
- 1 cawan serbuk roti oren
Cara penyediaan
- Panaskan kuali, masukkan mentega dan bawang putih. Biar naik bau dan masak guna api perlahan sahaja bagi elakkan bawang garing.
- Masukkan keju mozarella dan krim keju. Kacau hingga cair.
- Selepas keju cair, masukkan daun bayam, lada hitam dan garam secukup rasa.
- Kacau rata hingga bayam agak layu dan bertukar warna hijau gelap.
- Masukkan ke dalam bekas bersesuaian tidak melekat. Boleh juga sapukan sedikit minyak pada bekas. Jika nak buat bentuk bulat, kepal semasa keju masih panas.
- Tekan-tekan keju supaya rata. Bila sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk selama 30 minit.
- Potong keju menjadi kepingan dan saiz digemari. Sebaiknya jangan terlalu tebal atau nipis.
- Salutkan dengan 1/2 cawan tepung gandum.
- Kemudian celupkan ke dalam bancuhan telur. Ulang poses beberapa kali.
- Salut pula dengan dengan serbuk roti berwarna oren hingga rata.
- Simpan kepingan keju di tempat beku selama 15 minit sebelum digoreng.