Sedap macam dekat kedai mamak, jom cuba resipi ayam masak bawang
KALAU pergi ke restoran mamak, lauk wajib yang akan dipesan sudah pasti ayam masak bawang.
Aroma bawang yang digoreng bersama rempah kari dan pelbagai bahan lain menjadikan lauk ini mampu membangkitkan selera seisi keluarga.
Lebih seronok kalau digandingkan dengan nasi minyak atau nasi tomato sebagai hidangan tengah hari mahupun makan malam.

Apa kata cuba sendiri resipi ini seperti dikongsikan pempengaruh masakan Dya Syazzy yang ringkas tetapi dijamin sedap.
Sekadar guna bahan dan rempah yang sedia ada di dapur, hasilnya tetap menambat selera dan tak perlu lagi ke restoran mamak untuk menikmatinya.
MENARIK DIBACA: Semerbak baunya, anak-anak 'confirm' berebut makan... Jom cuba resipi kek pisang Mr. Ali
MENARIK DIBACA: Smoothie pisang berkhasiat, tambah biskut dan krim lagi sedap!
Berikut cara penyediaan ayam masak bawang perkongsian Dya Syazzy di laman TikTok.
Bahan-bahan
- ½ ekor ayam
- 2 biji bawang besar (hiris & goreng)
- 3 rempah sekawan
- Sehelai daun pandan
- 3 sudu besar serbuk kari
- 1 sudu besar serbuk cili
- ½ sudu besar serbuk jintan manis
- Sedikit air
- 1 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos tomato
- Garam secukup rasa
- Bahan kisar (2 biji bawang besar, 5 ulas bawang putih, ½ inci halia)
Cara penyediaan
- Kisar 2 biji bawang besar, 5 ulas bawang putih dan 1/2 inci halia sehingga halus.
- Lumurkan ayam dengan sedikit kunyit dan garam, kemudian perap selama 30 minit.
- Goreng hirisan 2 biji bawang besar hingga warna bertukar keperangan dan wangi. Ketepikan.
- Dalam kuali yang sama, goreng ayam yang telah diperap sehingga masak dan keemasan. Angkat dan ketepikan.
- Kurangkan minyak dalam kuali. Tumiskan rempah sekawan dan daun pandan bersama bahan kisar tadi sehingga naik bau dan bertukar warna keemasan.
- Tambahkan serbuk kari, serbuk cili, serbuk jintan manis dan sedikit air. Kacau sehingga pecah minyak.
- Masukkan sos tiram, sos cili, sos tomato dan garam secukup rasa. Kacau rata.
- Masukkan ayam goreng tadi ke dalam kuah rempah dan gaul rata supaya ayam disaluti dengan rempah yang kaya rasa.
- Taburkan bawang goreng di atas ayam sebelum dihidang.