Rasanya berlemak menggoda selera, ini resipi akok cara orang Kelantan
KUIH asal Kelantan iaitu akok memang banyak peminat kerana rasanya yang manis dan berlemak.
Kuih tradisional kecil berwarna perang keemasan hingga coklat gelap ini memang mempunyai daya tarikan tersendiri.
Bahagian luarnya sedikit garing dengan kerak nipis manakala bahagian dalamnya lembut, lembik dan berlemak manis.
Teksturnya kenyal dan lembut apabila digigit seolah-olah cair di mulut dengan aroma santan dan daun pandan yang harum semerbak.

Jika dibakar menggunakan acuan tembaga tradisional atau bara arang, kuih ini akan mengeluarkan bau hangus manis yang sangat wangi.
Sebenarnya tidak susah pun hendak membuat akok malah bahan-bahan digunakan juga mudah didapati.
Kalau ikut resepi disediakan Kuali ini memang menjadi. Selamat mencuba!
MENARIK DIBACA: Sedap dimakan bersama nasi panas dan ikan goreng, kena cuba resipi rasam
MENARIK DIBACA: Rangup di luar, lembut di dalam... Ini rahsia ikan celup tepung sedap macam dekat Terengganu
Bahan-bahan
- 5 biji telur
- 200ml santan pekat
- 150g gula melaka
- 3 helai daun pandan dikisar
- 2 sudu besar tepung gandum
- Sedikit garam
- Sedikit minyak untuk sapuan acuan
Cara penyediaan
- Masak gula melaka bersama sedikit air hingga larut kemudian tapis dan biarkan sejuk.
- Pecahkan telur ke dalam mangkuk besar dan kacau perlahan supaya tidak berbuih.
- Masukkan santan, air pandan dan garam ke dalam adunan telur kemudian kacau hingga sebati.
- Tuangkan sirap gula yang telah sejuk ke dalam adunan dan kacau rata.
- Ayak tepung gandum ke dalam adunan dan kacau perlahan-lahan hingga tidak berketul.
- Panaskan acuan kuih akok di atas api sederhana dan sapukan sedikit minyak pada setiap acuan.
- Tuang adunan ke dalam acuan hingga hampir penuh.
- Bakar dalam oven pada suhu 180°C selama 25–30 minit atau hingga permukaannya keperangan. Jika menggunakan bara arang, letakkan bara di atas penutup acuan dan bakar hingga masak serta berbau harum.
- Setelah masak, angkat kuih dan biarkan sejuk seketika sebelum dikeluarkan dari acuan.