3 menu raya ini lebih mudah masak guna 'rice cooker'! Jimat masa, tak jejas rasa asli
MUSIM raya memang sinonim dengan sajian istimewa yang biasanya dimasak beramai-ramai bersama keluarga dan mengambil masa lama untuk disediakan.
Bagi mereka yang tidak pulang ke kampung atau bukan pakar memasak, tak bermakna anda perlu melupakan terus hidangan tradisi Aidilfitri.
Sebenarnya dengan bantuan periuk nasi elektrik, kerja memasak jadi lebih mudah malah menu klasik seperti rendang dan kuah lodeh pun boleh disiapkan dengan cara lebih ringkas tapi sedap!

1. Rendang daging
Bila sebut rendang, ramai bayangkan kena masak dalam kawah besar, kacau lama-lama sampai kering. Menerusi perkongsian resipi @randferdian guna periuk nasi pun menjadi!
Cara penyediaan:
- Gunakan fungsi soup pada periuk nasi.
- Pertama, masukkan daging bersama sedikit air dan rebus sehingga empuk. Proses ini penting supaya daging betul-betul lembut tanpa perlu masak lama atas dapur.
- Kemudian, masukkan perencah rendang segera. Tak perlu tumis atau kisar bahan kerana semuanya sudah lengkap dalam pes tersebut.
- Kacau sehingga sebati dan biarkan ia mereneh. Untuk hasil yang lebih pekat dan berlemak, boleh tambah sedikit kerisik.
- Masak sehingga kuah kering dan rendang nampak berkilat.

2. Lodeh sayur
Sayur lodeh antara hidangan wajib di pagi raya, biasanya dimakan bersama nasi impit. Tapi kalau nak versi cepat, boleh cuba resipi perkongsian @yummyidn menggunakan periuk nasi.
Cara penyediaan:
- Gunakan fungsi cook atau soup.
- Kini banyak perencah lodeh boleh dibeli secara dalam talian, termasuk dari Indonesia. Ini memudahkan proses memasak tanpa perlu kisar bahan.
- Masukkan perencah ke dalam periuk nasi bersama sedikit minyak dan kacau sebati.
- Kemudian tuang santan dan biarkan ia mendidih perlahan.
- Apabila kuah mula mereneh, masukkan bahan seperti kobis, kacang panjang, tempe dan terung.
- Masak sehingga sayur sedikit lembut. Perasakan dengan garam dan gula mengikut cita rasa. Untuk aroma lebih wangi, boleh tambah daun limau.

3. Nasi beriani
Nasi beriani selalu nampak ‘fancy’ dan susah, tapi sebenarnya teknik memasak yang mudah memang guna periuk nasi sahaja seperti dikongsikan @hennabymirafaa. Rahsianya pada bahan tumisan!
MENARIK DIBACA: Kena cuba resipi ayam cili santan pedas berlemak, macam rendang tapi bukan!
MENARIK DIBACA: Tak sia-sia belajar dari YouTube Che Nom, rendang air tangan Nikki Palikat paling sedap!
Cara penyediaan:
- Gunakan fungsi memasak nasi seperti biasa.
- Mulakan dengan menumis bawang merah, bawang putih dan bunga lawang menggunakan minyak sapi sehingga naik bau harum.
- Kemudian masukkan rempah beriani dan kacau sehingga pecah minyak.
- Masukkan susu cair dan sedikit air. Selepas itu, tuang beras basmati (anggaran 3 cawan) bersama 3 cawan air.
- Tambahkan garam secukupnya, kemudian tutup periuk nasi dan biarkan ia masak seperti nasi biasa.
- Untuk warna lebih menarik, boleh tambah sedikit pewarna kuning sebelum nasi masak sepenuhnya.
