Bubur butir nangka enak makan panas atau sejuk! Jangan keliru, beza dengan badak berendam
SEKALI pandang nampak seakan-akan sajian manisan badak berendam, tetapi sebenarnya ia adalah bubur butir nangka.
Pencuci mulut tradisional ini menggunakan bebola kecil dihasilkan dengan tepung pulut yang dimasak dalam kuah santan berlemak bersama aroma daun pandan dan halba.
Teksturnya yang kenyal dengan kuah manis berlemak memang sesuai dinikmati ketika minum petang atau sebagai pencuci mulut selepas makan.
Jom kuali kongsikan resipinya:-

Bahan-bahan
Bahan doh
- 1 ½ cawan tepung pulut
- Pewarna hijau secukupnya
- Air secukupnya
Bahan kuah
- ¾ kotak santan
- ½ cawan air
- ½ sudu kecil garam
- 1 helai daun pandan (disimpulkan)
- 1 sudu kecil halba
MENARIK DIBACA: Resipi mudah, bila buat tak jadi! Rupanya ada teknik masak sagu gula Melaka elok kejadian
MENARIK DIBACA: Mudah sangat buat jeli kelapa muda... Lebih segar, terasa keaslian berbanding beli di kedai
Cara penyediaan
Sediakan doh
- Masukkan tepung pulut dan pewarna hijau ke dalam bekas.
- Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.
- Cubit sedikit doh dan bulat-bulatkan menjadi bebola kecil.
Rebus bebola doh
- Didihkan air di dalam periuk.
- Masukkan bebola doh dan rebus sehingga ia terapung di permukaan air, menandakan ia sudah masak.
- Angkat dan terus rendamkan dalam air sejuk supaya teksturnya kekal kenyal.
Kuah santan
- Masukkan santan, air, garam, daun pandan dan halba ke dalam periuk.
- Masak menggunakan api sederhana sambil sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak.
- Apabila kuah mula berwap dan beraroma harum, masukkan bebola yang telah direbus.
- Masak sehingga kuah mula mendidih perlahan. Tidak perlu tunggu sehingga menggelegak, kemudian tutup api.