Muak dengan menu telur rebus ketika diet? Cuba campur tuna dan yogurt, pasti berselera
BUAT anda yang sedang mengamalkan diet, menu telur rebus sudah pasti menjadi pilihan kerana mudah disediakan dan tinggi protein.
Bagaimanapun, hidangan tersebut boleh menimbulkan rasa bosan apabila terpaksa dimakan setiap hari.
Seorang wanita di Threads dikenali sebagai Yamnasyamila berkongsi idea menarik untuk mereka yang mahu kekal menjaga pemakanan tetapi tidak mahu terikat dengan hidangan telur rebus sahaja.
Menerusi perkongsiannya, dia mencadangkan resipi berasaskan telur, tuna dan yogurt yang bukan sahaja ringkas, malah sesuai dijadikan pilihan sarapan atau hidangan ringan ketika menjalani diet.
“Untuk yang nak diet tapi muak makan telur rebus je, cuba resipi ni. Confirm tak muak,” tulisnya.

Bahan-bahan
- 2 biji telur rebus
- Timun secukupnya
- Yogurt (pilih yang rendah gula jika mahu lebih mesra diet)
- Serbuk lada hitam secukup rasa
- Tuna tin
- Roti (digalakkan memilih roti gandum atau roti tinggi serat, elakkan roti putih)
MENARIK DIBACA: 3 kebaikan makan yogurt 'homemade'... Ini cara mudah penyediaan, nikmati tanpa ragu
MENARIK DIBACA: Beli mahal, sayang jika buang kulit udang! Boleh buat serbuk perasa, banyak manfaat lain
Cara penyediaan
- Rebus telur sehingga masak, kemudian hancurkan telur menggunakan garfu.
- Tos tuna terlebih dahulu sebelum dicampurkan bersama telur.
- Potong timun kecil-kecil mengikut kesesuaian.
- Campurkan telur, tuna dan timun dalam satu bekas.
- Masukkan sedikit yogurt sebagai pengganti mayonis bagi mendapatkan tekstur lebih berkrim.
- Taburkan serbuk lada hitam mengikut cita rasa.
- Gaulkan semua bahan sehingga sebati.
- Hidangkan bersama roti pilihan, terutama roti gandum atau roti tinggi serat.